
MELAKA: Kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang akan membuka laluan lebih mudah kepada kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk melangkah ke Putrajaya.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kejayaan menawan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) itu merupakan isyarat bahawa kerjasama itu berpotensi diperluaskan ke peringkat nasional.
Menurutnya, memenangi Kesidang bukan sekadar soal merampas satu kerusi DUN, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai keupayaan BN dan PN membina kesepakatan politik bagi menghadapi cabaran pada masa depan.
“Kalau kita berjaya di DUN Kesidang, ia menunjukkan satu isyarat yang cukup besar bahawa gerakan di Melaka ini akan membuka langkah yang lebih baik menuju Putrajaya,” katanya ketika melawat Bilik Gerakan PN DUN Kesidang di Malim Jaya di sini hari ini.
Hadir sama, calon PN DUN Kesidang, Albert Kok.
Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri berkata, BN mempunyai parti komponen seperti MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), begitu juga PN.
Katanya, gabungan kekuatan itu berpotensi membentuk kerjasama politik lebih besar, sekiranya semua pihak bersedia mengetepikan perbezaan dan bergerak berdasarkan hala tuju bersama.
Beliau berkata, Kesidang menjadi antara kerusi yang diberikan perhatian kerana BN pernah menguasainya sebelum tewas dalam dua siri pilihan raya.
“Saya lihat semua jentera di setiap peringkat, baik PN mahupun BN, sudah menggerakkan usaha masing-masing dan membuktikan kesepakatan ini. Saya amat berpuas hati.
“Sekali lagi saya sebutkan, orang Melaka ini ibarat bulan puasa.
“Mereka tak sabar nak menunggu hari mengundi, macam nak menunggu waktu berbuka. Tunggu waktu berbuka azan Maghrib nanti, tengok macam mana cara mereka nanti,” katanya. – UTUSAN
The post Menang Kesidang, lebih mudah BN-PN ke Putrajaya appeared first on Utusan Malaysia.






