Menang petisyen, dua ADUN Sabah salur kos mahkamah untuk kebajikan rakyat

LocalPolitics
28 Mar 2026 • 5:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aliakbar (kiri), Ruddy

KOTA KINABALU - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah berhasrat menyalurkan wang kos yang diterima susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen yang dikemukakan terhadap mereka untuk kegunaan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Aliakbar Gulasan yang juga ADUN Karambunai berkata, bayaran kos yang diterimanya sebanyak RM15,000 akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan sedia ada bagi tujuan membantu rakyat.

"Alhamdulillah, tetapi bayaran kos tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan rakyat Karambunai untuk sebarang kegunaan kebajikan, pendidikan dan lain-lain.

"Tabung kebajikan ini memang sudah ada kami wujudkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum itu, Mahkamah Pilihan Raya di sini membatalkan petisyen yang dikemukakan bagi mencabar keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, sekali gus mengekalkan kemenangan Aliakbar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Siong Tung yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan itu secara dalam talian selepas membenarkan semua bantahan awal yang dikemukakan oleh responden termasuk Aliakbar.

Susulan keputusan itu, pempetisyen iaitu calon Parti Warisan (Warisan), Ahmad Jais Otong diperintahkan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada responden pertama dan kedua, serta tambahan RM15,000 kepada responden ketiga iaitu Aliakbar.

Sementara itu, ADUN Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah yang turut menerima bayaran kos sebanyak RM15,000 susulan keputusan penolakan petisyen terhadapnya, turut menyatakan hasrat sama untuk menyalurkan wang tersebut ke arah kebajikan rakyat di kawasan beliau.

"Keputusan telah pun dibuat oleh hakim dan berpihak kepada saya. Saya dimaklumkan ada bayaran kepada saya selepas tempoh matang yang telah ditetapkan oleh hakim.

"Kalau kita peroleh wang tersebut, ini semua kita akan beri kepada anak-anak yatim piatu. Kerana mereka memerlukan sumbangan yang perlu daripada kami sebagai wakil rakyat,” katanya.