
KUALA LUMPUR - Peguam terkemuka, Siti Kasim meluahkan rasa syukur dan gembira selepas berjaya memenangi kes saman yang difailkan ke atasnya oleh seorang peguam lain.
Menurut beliau, saman fitnah berkenaan difailkan peguam Colin Andrew Pereira tidak lama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya telah disaman oleh seorang peguam lain yang mendakwa saya telah memfitnahnya.
“Mereka yang mengetahui latar belakang perkara ini pasti tahu apa sebenarnya isu ini. Semuanya berlaku tidak lama selepas PRU15,” katanya.
Jelas Siti atau nama sebenarnya, Siti Zabedah Kasim, saman difailkan ke atasnya itu jelas didorong oleh permusuhan peribadi.
“Dia malah mengaitkan kekalahan saya dalam PRU15, sesuatu yang langsung tidak relevan dengan dakwaan fitnah tersebut,” katanya.
Beliau yang juga aktif sebagai aktivis masyarakat berkata, dakwaan dimasukkan plaintif dalam dokumen samannya jelas membuktikan bahawa lelaki itu tahu akan kedudukan sebenar.
“Ia adalah jenis tuduhan yang dia tidak akan berani ulang di luar perlindungan dokumen mahkamah, kerana dia tahu sepenuhnya akibatnya jika dia berbuat demikian.
“Itu sahaja sudah cukup menunjukkan niat jahat di sebalik tindakannya,” katanya.
Siti memberitahu, plaintif sebelum memfailkan saman terbabit telah menyerangnya secara terbuka di Facebook.
“Dia menyerang, memprovokasi dan memperlekehkan saya. Setelah berkali-kali menjadi sasaran, saya menggunakan dua perkataan kasar terhadapnya dan itulah yang menjadi asas kepada tuntutannya.
“Biar saya jelaskan: saya dipaksa untuk menghadapi satu saman yang langsung tidak berasas dan sia-sia, dibawa oleh seseorang yang bertindak atas dasar dendam dan ego, bukannya prinsip,” katanya.
Siti mengakui, saman difailkan Colin itu menyebabkan beliau berada dalam tekanan.
“Jumlah masa, tenaga dan wang yang terbuang dalam proses ini benar-benar sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata,” katanya.
Justeru katanya, keputusan mahkamah hari ini dianggap sebagai satu kejayaan bermakna untuk semua pihak, khususnya eguam yang mewakilinya, Nik Elin Nik Rashid.
“Hari ini, mahkamah telah membuat keputusan. Dia kalah. Dia diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM18,500, termasuk kos yang timbul daripada permohonannya yang sebelum ini juga gagal.
“Satu saman yang didorong oleh ego, bukan merit, sewajarnya ditolak,” katanya. - Getaran, 20 Mei 2026


