Menanti keadilan, mengharap kepulangan Najib

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Menanti keadilan, mengharap kepulangan Najib

MUKADIMAH
EMPAT tahun berada di sebalik tirai besi tidak memadamkan kerinduan keluarga terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi anaknya, NOORYANA NAJWA NAJIB, penangguhan keputusan berkaitan permohonan pengampunan bapanya bukan penamat kepada harapan, sebaliknya ruang untuk terus menunggu keadilan.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA serta jurufoto, FARIZ RUSADIO, Exco Pergerakan Puteri UMNO itu terus menyimpan harapan untuk melihat bapanya kembali ke pangkuan keluarga.

Beliau percaya, sokongan serta doa menjadi suntikan semangat kepada bapanya, selain berharap kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong terus dihormati.

UTUSAN: Apa pandangan Nooryana apabila permohonan pengampunan Najib ditangguhkan?
NOORYANA NAJWA: Selama empat tahun ayah di penjara, ahli-ahli UMNO sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau. Di mana saya pergi, termasuk ketika turun ke bahagian-bahagian, semua bertanyakan khabar Najib.

Ini satu berita baik (apabila sebelum ini dikatakan Lembaga Pengampunan akan bincang permohonan Najib pada 11 September) dan pastilah sebagai bekas Perdana Menteri dan presiden UMNO, ramai yang rindu susuk tubuh Najib pulang ke pangkuan keluarga, pulang ke parti.

Saya sebagai seorang anak, pastilah merindui beliau. Pastilah saya sentiasa menunggu peluang untuk beliau mendapat keadilan yang sewajarnya.

Sudah lama kami menunggu. Walaupun keputusan Lembaga Pengampunan bukan seperti yang diharapkan, walaupun kami sekeluarga kecewa tetapi saya tetap yakin dan percaya beliau akan mendapat keadilan.

Kita tidak tahu lagi bila mesyuarat Lembaga Pengampunan akan berlangsung selepas ini tetapi kami yakin akan dapat berjumpa dengan beliau dalam suasana yang gembira.

Kami berdoa agar masa itu tidak akan mengambil masa yang terlalu lama.

Ada dakwaan wujud campur tangan pihak tertentu dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ini?
Ramai orang membuat spekulasi tetapi sebagai seorang anak, saya fokus.

Ayah berumur 73 tahun dan menjalani prosedur untuk jantung, bulan lalu. Jadi, fokus keluarga memastikan beliau kembali dalam keadaan yang sihat.

Khabar-khabar angin mengenai campur tangan politik itu, ramai yang akan membuat spekulasi. Tetapi sebagai seorang anak, kami hanya berdoa agar beliau pulang dalam keadaan yang baik.

Bagaimana keadaan beliau?
Alhamdulillah, setakat ini beliau sihat tetapi saya tahu dugaan dan cabaran beliau berada di sebalik tirai besi. Bukan senang untuk melalui semua ini. Bukan senang untuk menghadapinya.

Beliau rindu dengan keluarga UMNO, dengan keluarga. Beliau juga mengharapkan akan tiba masa untuk bebas dan kembali kepada kita semua.

Adakah beliau ada sampaikan pesanan?
Beliau tidak pernah lupa sahabat-sahabat. Beliau seorang parti man. Kalau beliau harus melalui cabaran dan dugaan seperti ini, tidak apalah, asalkan parti kuat.

Beliau tahu ramai yang masih menunggu beliau, ramai yang mendoakan beliau. Mungkin ini boleh menyuntik semangat untuk terus berjuang demi kebebasan dan keadilan.

Kuasa pengampunan di tangan Agong. Itu satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Kita tidak mahu perbezaan politik mengakibatkan kuasa mutlak Agong dinafikan.

Beliau seorang yang patuh kepada undang-undang. Beliau seorang yang adil. Beliau faham Perlembagaan negara kita.

Jadi, beliau tidak akan pernah minta atau mohon sesuatu yang bukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan negara. Kuasa mutlak Agong itu masih ada.

Kalau saya turun ke bahagian, cawangan atau berjumpa masyarakat, ramai yang bertanyakan bila Najib nak keluar? Mungkin itu adalah satu tanda Najib dekat di hati ahli-ahli UMNO.

UMNO tidak akan melupakan jasa seorang Perdana Menteri. Jadi, ramai yang berharap dan yakin peluang (untuk Najib bebas) itu masih ada.

Saya merayu kepada Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, berharap baginda akan mendengar isi hati dan suara wakil-wakil UMNO kerana kami sentiasa mengingati bos kami.

Adakah Najib akan aktif semula dalam politik sekiranya dibebaskan?
Saya mahu beliau berehat di rumah terlebih dahulu, duduk di rumah diam-diam, rehat.

Habiskan masa sebagai seorang datuk dan bermain dengan cucu terutama yang tidak sempat dilihat kerana lahir ketika ayah berada di penjara.

Ada sebarang bantahan daripada pihak keluarga sekiranya beliau mahu kembali aktif dalam politik?
Ayah sudah berusia. Kalau betul mahu aktif dalam politik pun, mungkin boleh bagi semangat.

Ayah tidak pernah menyebut perkara itu?
Tidak pernah. Beliau party man dan pastinya akan membantu parti sedaya upaya tetapi buat masa sekarang, rayuan keluarga, rehat dulu.

Bagaimana pula melihat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam Ucapan Dasar Presiden memuji dasar-dasar kerajaan terdahulu yang dilaksanakan Najib?
Ucapan itu menunjukkan polisi dan dasar-dasar yang diperkenalkan Najib ketika Barisan Nasional (BN) memimpin negara adalah efektif.

Kita tengok Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50), itu merupakan satu perancangan jangka panjang yang boleh mengembalikan kepercayaan UMNO kepada rakyat.

Bila kita tengok sekarang, banyak rakyat dah mula kembali kepada parti. Dengan Ucapan Dasar Presiden, kita nampak sokongan terhadap dasar-dasar yang pernah diperkenalkan itu.

Ahmad Zahid juga menyebut tentang penyatuan Melayu, adakah aura Najib boleh membantu melonjakkan usaha tersebut?
Mungkin orang melihat Najib sebagai seorang inspirasi untuk memperjuangkan lagi agenda Melayu.

Sejak beliau menerajui, beliau tidak pernah lupa agenda pemerkasaan Melayu dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya.

Saya rasa kalau beliau berada bersama kita, ia akan menjadi satu inspirasi untuk menguatkan lagi semangat memperjuangkan agenda orang Melayu.

Pembiayaan antara isu wanita muda

Sebagai exco, adakah anda ke depan untuk menyuarakan suara Puteri UMNO dalam isu-isu penting yang melibatkan parti dan rakyat?
Saya membantu ketua saya untuk menyuarakan isu-isu wanita muda. Kita buat dan menyelesaikannya dalam struktur organisasi Puteri UMNO.

Ayah selalu meyakinkan saya untuk menjaga nama baiknya dan keluarga. Pastikan setiap amanah dan tanggungjawab yang diberikan dibuat dengan ikhlas dan penuh perhatian.

Apa isu-isu yang kritikal dalam kalangan wanita muda?
Banyak isu wanita muda yang perlu diberikan perhatian, khususnya isu ekonomi seperti bagaimana mahu membantu golongan ini mendapat peluang pembiayaan. Ini kerana usahawan-usahawan wanita muda berdepan masalah pembiayaan.

Kita mewujudkan satu program pembiayaan patuh syariah. Melalui program ini, usahawan-usahawan wanita muda boleh mendapatkan pembiayaan tanpa faedah.

Jadi, bagi saya, kita sebagai Puteri UMNO bukan sahaja perlu menyuarakan isu-isu wanita muda tetapi dalam masa sama menawarkan satu penyelesaian yang relevan dan mudah supaya mereka tahu Puteri UMNO boleh menjadi jambatan untuk mereka.

Sebab kadang-kadang mereka tidak tahu tentang dasar-dasar kerajaan atau apa-apa bantuan yang ada di sekeliling mereka.

Jadi, itulah kerja Puteri UMNO untuk menjadi satu jambatan antara masyarakat wanita muda dengan kerajaan dan syarikat-syarikat korporat yang boleh membantu mereka. – UTUSAN

The post Menanti keadilan, mengharap kepulangan Najib appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved