
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Ahli Perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Adlan telah melarikan diri lebih dua tahun lalu selepas dia menjadi buruan dan dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pertuduhan pecah amanah.
NST dapat gambar Adlan di luar negara
Memetik New Straits Times (NST), beberapa gambar yang dikongsikan menunjukkan Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat. Dalam salah satu gambar tersebut, kelihatan potret seorang pemimpin negara berkenaan.
Sumber memberitahu NST bahawa Adlan kerap keluar masuk negara itu untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Difahamkan, keluarganya turut berada bersamanya, namun maklumat terbabit tidak dapat disahkan.

Adlan tinggal di negara tiada perjanjian ekstradisi
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Beliau meninggalkan Malaysia menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.
Peguamnya, Mansoor Saat, 70, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan negara ini menuju ke Jakarta empat hari selepas Adlan dan sejak itu tidak kembali lagi.
Hampir RM50 juta hasil kutipan PLKS diseleweng
Difahamkan, Adlan dan Mansoor berdepan tuduhan pecah amanah berkaitan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS) yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.
Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk telah diselewengkan.
Siasatan SPRM turut mengenal pasti Adlan dan Mansoor sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Adlan dan Mansoor nafi larikan diri, tapi sampai sekarang gagal hadirkan diri
Kedua-duanya sebelum ini mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan terhadap kes itu bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi dibuat.
“Antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat menghubungi Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke ibu pejabat SPRM,” katanya dipetik Berita Harian.
Apabila Adlan gagal hadir, SPRM mengambil beberapa tindakan termasuk:
- Mengisytiharkan Adlan dan Mansoor sebagai individu dikehendaki pada 7 Ogos 2023.
- Mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Majistret Shah Alam pada 7 September 2023.
- Memohon Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan menyerahkan dokumen penuh kepada Interpol pada Oktober 2023.
- Bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membatalkan pasport mereka antara Ogos dan September 2023.
- Mengemukakan beberapa laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025.
“Tindakan ini menunjukkan usaha bersepadu dan telus antara agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara,” kata Khusairi.
Adlan dan Mansoor didakwa secara in absentia
Selepas semua usaha membawa pulang Adlan dan Mansoor gagal, SPRM memaklumkan bahawa mereka bersetuju dengan cadangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa kedua-duanya secara in absentia (tanpa kehadiran).
Pada 16 Oktober lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, siasatan terhadap Adlan telah selesai dan arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan.
Menurutnya, SPRM akan menyokong sepenuhnya keputusan AGC untuk meneruskan pertuduhan terhadap Adlan dan Mansoor secara in absentia.
Source:

![Remaja Meninggal Dunia Ketika Hari Jadi Adik, Sempat Hadiahkan iPhone Buat Ramai Sebak [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)

![Warga Emas Zahir Rasa Syukur, Pesawat Selamat Mendarat Selepas Hadapi Detik Cemas Ketika Penerbangan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/travel.jpeg)