Menantu Trump dikecam puji Putin ‘maha guru politik’

WorldPolitics
27 Nov 2026 • 5:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Menantu Trump dikecam puji Putin ‘maha guru politik’

WASHINGTON: Menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, dikecam selepas memuji Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai ‘maha guru politik’ dalam satu temu bual yang dijangka mencetuskan kebimbangan Ukraine dan negara-negara Eropah.

Kushner, yang mengetuai usaha Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai perjanjian damai antara Moscow dan Kyiv, turut memuji Putin kerana tidak menggunakan senjata nuklear selain mendakwa Eropah ‘tiada rancangan’ untuk menamatkan perang Ukraine yang tercetus susulan pencerobohan Russia pada Februari 2022.

Kushner bersama utusan khas AS, Steve Witkoff, sebelum ini menerima kritikan negara-negara Eropah kerana berulang kali enggan mengecam tindakan pencerobohan Russia, selain dilihat menyebelahi Putin dalam beberapa isu utama.

Minggu lalu, Trump turut menyifatkan Putin sebagai ‘rakannya’ ketika menghadiri sidang kemuncak tiga hala bersama Presiden China, Xi Jinping.

Dalam temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat induk akhbar The Telegraph, Axel Springer, Mathias Döpfner, Kushner menyifatkan Putin sebagai pemimpin yang mempunyai strategi politik tersusun.

“Menjelang rundingan itu, Presiden Putin sangat teratur. Ada pihak yang boleh menyukai tindakannya dan ada juga yang tidak, tetapi beliau sememangnya tokoh politik agung,” katanya dalam temu bual menerusi siaran podcast itu.

Kenyataan Kushner mengundang kritikan penganalisis yang menyifatkan beliau sekali lagi mengulangi naratif Kremlin tanpa mengambil kira perspektif Ukraine.

“Cara Kushner bercakap seolah-olah beliau jurucakap Putin, bukannya orang tengah atau utusan AS.

“Beliau memuji Putin, menafikan Rusia sebagai pihak yang melakukan pencerobohan dan menggambarkan penaklukan serta pendudukan Ukraine oleh Rusia sebagai ‘keamanan’,” kata Pengarah Jean Monnet Centre Montreal yang menumpukan perang Russia-Ukraine, Maria Popova, menerusi platform X.

Pentadbiran Trump berulang kali mengambil pendekatan lunak terhadap Putin dengan menawarkan insentif kewangan bagi memujuk pemimpin Russia itu mencapai perdamaian.

Berbeza pendekatan terhadap Ukraine, AS sebaliknya terus memberi tekanan kepada Kyiv dan negara-negara Eropah supaya membuat konsesi kepada Moscow, meskipun Russia bertanggungjawab mencetuskan perang berkenaan.- AGENSI

The post Menantu Trump dikecam puji Putin ‘maha guru politik’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved