Menara Karl Lagerfeld pertama di Asia Tenggara bernilai RM6.5 bilion bakal dibuka di Melaka menjelang 2030
zulfadli
20/06/2023 - 11:14
KUALA LUMPUR 20 Jun - Sheng Tai International Sdn Bhd bekerjasama dengan jenama pereka fesyen terkenal dunia, Karl Lagerfeld menerusi pelancaran Menara Karl Lagerfeld pada pembangunan The Sail bernilai RM6.5 bilion di bandar Melaka.
Menara yang terdiri daripada hotel dan kediaman, bakal mencipta sebuah standard terulung sebagai hotel Karl Lagerfeld yang pertama di Asia Tenggara, yang dijangka siap pada 2030.
Usaha tersebut adalah sebahagian daripada rangkaian inisiatif transformatif yang dipimpin oleh Pengerusi dan Presiden Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley, dalam membangunkan negeri Melaka sebagai sebuah Bandar Fesyen yang rancak dan berkembang maju di rantau ini.
Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat fesyen, dan pada masa yang sama memanfaatkan ciri-ciri warisan dan budaya yang unik di bandar ini.
"Matlamat jangka panjang kami bukan sahaja untuk memupuk bakat tempatan, tetapi juga mengalu-alukan pelaburan global, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, serta kemakmuran di negara ini.
"Kami berasa berbesar hati atas ketibaan Karl Lagerfeld dan etos mereka yang berpandangan jauh dalam perancangan kami untuk masa depan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Karl Lagerfeld, Pier Paolo Righi pula berkata, pihaknya menyatakan keterujaannya terhadap kerjasama tersebut dan menyerlahkan penglibatan mereka dalam merealisasikan impian yang mendalam dan visi yang berwawasan.
Beliau merasakan ‘kehadiran’ mendiang Karl Lagerfeld apabila Leong berkongsi aspirasinya kerana Karl dan rumah fesyen tersohor tersebut sentiasa didorong prinsip untuk menerima masa kini seadanya dan membentuk masa depan yang berdaya cipta.

Righi menekankan bahawa perbincangannya dengan Leong mengesahkan komitmen bersama mereka untuk mencipta sesuatu yang luar biasa secara kolektif, sebuah bukti sumbangan bersama dan usaha berdedikasi mereka.
Dengan portfolio hartanah yang mengagumkan, merangkumi 165.5 ekar hartanah perdana di Melaka (daripada gabungan pembangunan The Sail di 27.5 ekar dan 138 ekar tanah di tapak teater Encore) kawasan ini akan membentuk City of Hope (Kota Harapan) yang menakjubkan. - DagangNews.com



