Menara Kuala Lumpur dibuka semula esok selepas seminggu ditutup

25 Apr 2025 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Menara Kuala Lumpur dibuka semula esok selepas seminggu ditutup

image is not available

25/04/2025 - 11:55

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 April — Menara Kuala Lumpur di ibu negara akan dibuka semula kepada orang ramai bermula pukul 9 pagi pada 26 April 2025, selepas penutupan sementara untuk kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan selama seminggu.


Perkara berkenaan diumumkan Kementerian Komunikasi pada Jumaat dan turut menyatakan, pembukaan semula menara tersebut selari dengan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam menjamin kesejahteraan pekerja yang terlibat.


Di samping itu katanya, kementerian berkenaan berharap supaya pengoperasian semula menara telekomunikasi ikonik di Bukit Nanas tersebut menyediakan perkhidmatan dan persekitaran yang kondusif serta selamat terhadap para pengunjung.


"Menerusi pengurusan baharu premis diterajui oleh LSH Service Master Sdn Bhd, kerajaan terus komited memastikan penyampaian perkhidmatan cekap, berorientasikan pelanggan dengan penambahbaikan berterusan," katanya dalam satu kenyataan.


Langkah berkenaan kata Kementerian Komunikasi, turut meliputi pelbagai aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik lagi minat para pengunjung dari dalam dan luar negara untuk melawat ke menara berketinggian 421 meter itu.

image is not available


Kementerian tersebut pada 16 April 2025 memaklumkan, penutupan Menara Kuala Lumpur yang bermula keesokan harinya bagi membolehkan penyelenggaraan di bawah seliaan oleh syarikat pengendali konsesi baharu, LSH Service Master.


Kerja-kerja pemulihan berkenaan termasuk pembersihan tapak, pengecatan semula, pemasangan balik tiang bendera, serta menaik taraf sistem kamera litar tertutup dan komunikasi di menara yang telah dibuka kepada awam pada 1996.


Penambahbaikan lain termasuk menggantikan rumput tiruan di teres, menaik taraf sistem elektrik dan saliran, membersihkan kubah kaca di lobi utama, serta membaik pulih restoran berputar dan ruang pejabat.


Mercu tanda popular itu, secara kelazimannya menarik antara 1,000 dan 1,500 pelawat setiap hari, yang kebanyakannya pelancong antarabangsa untuk menikmati keindahan panorama pusat bandar raya Kuala Lumpur. - DagangNews.com

standard