“Menarik Sekali,” Prabowo Arah Uji Serbuk Pemadam Kebakaran Berasaskan Tepung Ubi Kayu

WorldEnvironment
25 Aug 2026 • 4:09 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

“Menarik Sekali,” Prabowo Arah Uji Serbuk Pemadam Kebakaran Berasaskan Tepung Ubi Kayu

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan supaya teknologi serbuk berasaskan ubi kayu yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan dan tanah diuji bagi pengeluaran secara besar-besaran, lapor CNN Indonesia.

Beliau berkata sedemikian ketika mempengerusikan mesyuarat berkaitan penanganan kebakaran hutan dan tanah di Palembang, pada Isnin.

“Menarik sekali kerana bahan mentahnya daripada ubi kayu. Cuba hasilkan dalam skala besar. Kemukakan kos pengeluarannya, kita akan usahakan segala kaedah yang ada,” katanya.

Prabowo turut berseloroh bahawa kaedah itu mungkin boleh menggantikan penggunaan air dalam operasi pemadaman melalui udara.

“Jadi, yang kita lakukan bukan lagi ‘water bombing’, tetapi ‘ubi bombing’. Kalau sebuah helikopter MI-17 boleh membawa empat tan air, mungkin empat tan serbuk ubi ini boleh diuji untuk melihat sejauh mana keberkesanannya,” katanya.

Inovasi serbuk pemadam kebakaran itu pada awalnya dibentangkan Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau menjelaskan perkara itu sebagai respons kepada pertanyaan Prabowo mengenai kaedah alternatif untuk menangani kebakaran hutan dan tanah selain penggunaan air secara konvensional.

Menurut Listyo, bahan berasaskan tepung itu boleh digunakan bagi menghalang proses pembakaran dengan memutuskan tindak balas antara api dan unsur yang menyokong pembakaran.

Image from: “Menarik Sekali,” Prabowo Arah Uji Serbuk Pemadam Kebakaran Berasaskan Tepung Ubi Kayu
Kredit: CNN Indonesia

“Terdapat sejenis bahan dengan bahan mentah utamanya daripada tepung. Apabila disembur menggunakan peralatan tertentu, bahan itu boleh membantu menghalang api daripada terus merebak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata teknologi berkenaan masih memerlukan kajian lanjut sebelum dapat dihasilkan dalam jumlah yang lebih besar.

Katanya, inovasi itu berpotensi digunakan sebagai langkah pencegahan selain memadam kebakaran pada peringkat awal.

“Sekiranya kuantiti bahan itu mencukupi, ada kemungkinan ia juga boleh digunakan untuk menangani kebakaran berskala sederhana atau besar,” katanya.

Baca juga:

Listyo turut mengesahkan bahawa tepung berkenaan diperbuat daripada ubi kayu.

Sementara itu, Panglima Kodam II/Sriwijaya, Mejar Jeneral TNI Ujang Darwis berkata inovasi berkenaan merupakan hasil penemuan anggota Bintara Pembina Desa (Babinsa) di Lubuklinggau.

Bagaimanapun, kapasiti pengeluarannya ketika ini masih kecil.

“Memang kapasiti pengeluarannya masih kecil. Jika mendapat sokongan, kami akan cuba menghasilkannya dalam skala lebih besar dan perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada BNPB,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved