Mencari Ikhlas Di Hati

Opinion
9 Jan 2026 • 1:00 PM MYT
Zakiah Senin
Zakiah Senin

30 years of shaping communities through volunteerism and character building

Image from: Mencari Ikhlas Di Hati
Photo Credit: Yayasan Salam Malaysia - Salah satu program pengagihan barangan dapur yang dikenali sebagai My Ole-Ole kepada komuniti yang memerlukan.

Baru-baru ini, saya berpeluang menjadi ahli panel dalam Forum Persidangan Sukarelawan Kebajikan di Sarawak. Selepas sesi itu, sekumpulan sukarelawan berbual dengan saya. Kelihatan mereka masih belum memperolehi jawapan yang diinginkan. Saya senang dengan keadaan itu kerana ia menunjukkan kesungguhan mereka membina kefahaman, lalu menumbuhkan kepercayaan untuk melangkah lebih yakin sebagai seorang sukarelawan.

Mereka mengajukan persoalan tentang ikhlas. Rata-rata kita memahami maknanya: hati yang bersih, suci dan tulus, bebas daripada pujian atau habuan duniawi. Berbuat baik kerana niatnya mahu berbuat baik. Berbuat baik kerana Tuhan menggalakkan kita sentiasa berbuat baik. Orang yang ikhlas tidak mengharapkan balasan daripada sesiapa, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Sukarela pula bermakna melakukan sesuatu kebaikan dengan rela hati, tanpa paksaan, atas kemahuan sendiri, dan tanpa menginginkan ganjaran. Kerja sukarela adalah tindakan murni; ikhlas pula adalah nilai tertinggi yang bersemayam di dalam hati. Gabungan keduanya melahirkan sukarelawan yang tulus berkhidmat tanpa syarat.

Kemudian muncul soalan lain: bagaimana pula dengan teori Maslow tentang keperluan asas manusia — antaranya rasa ingin diterima, dihargai dan diiktiraf pencapaiannya? “Orang ikhlas ini, malaikatkah?” Saya ketawa kecil mendengarnya. Jawapan saya begini: yang ikhlas itu tetap manusia biasa. Sama ada ikhlas atau tidak, setiap orang masih memerlukan rasa diterima, dihargai dan diiktiraf. Bezanya ialah kepada siapa harapan itu disandarkan? Bagi yang sukar untuk ikhlas, harapannya mungkin diletakkan pada manusia atau agenda peribadinya. Tetapi bagi yang ikhlas, pulangan daripada sesiapa bukanlah dambaan. Segalanya diserahkan kepada Tuhan. Hebat, bukan?

Secara peribadi, meskipun sudah 30 tahun bergiat dalam dunia sukarela, saya masih merasakan keikhlasan ini belum cukup ampuh dalam diri. Namun begitu, jangan sesekali berhenti berbuat baik. Latihlah hati agar tidak menjangkakan imbuhan. Tanpa jangkaan, tiada tekanan. Syukur jika wujud keikhlasan kerana ia lebih membahagiakan.

(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan DBP 2024)


Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.