
Pernah mencuri perhatian pencinta dunia animasi beberapa tahun yang lalu, watak gadis Kepulauan Pasifik Disney Moana kembali ke layar perak tahun ini dengan sebuah sambungan penuh keajaiban.
Namun dalam sambungan kali ini, Moana sudah beranjak remaja dan di awal filem dirinya dipaparkan sebagai seorang yang sangat dihormati kerana telah berjaya membawa pelbagai perubahan dan menyelamatkan pulau tempat tinggalnya.
Lebih istimewa, Moana juga mempunyai hubungan rapat dengan Maui, makhluk separa dewa yang telah membantu Moana menyelamatkan dunia.
Dalam filem Moana 2, sikap ingin tahu Moana membawanya ke bahagian lautan yang lebih jauh dari pulau tempat tinggalnya. Moana sangat percaya bahawa dunia ini pasti ada penduduk lain, selain daripada penduduk pulaunya.
Pencarian ini telah membawanya ke sebuah pulau lain dan dia menemui sebuah bukti tentang kewujudan tamadun sebelum zamannya.
Setelah membawa barang peninggalan itu ke kampungnya untuk dinilai dan ditafsir ia membawa kepada suatu pembayang dan kisah tentang salah seorang malim kapal tersohor zaman nenek moyangnya bernama Tautai Vasa yang gagal menyatukan kaum-kaum lain di lautan luar kerana telah dihalang oleh sumpahan seorang dewa jahat bernama Nalo.
Tautai Vasa kemudian muncul dalam minda pra-sedar Moana dan memberitahunya cara-cara untuk memecahkan sumpahan tersebut dan arah yang harus diikuti.

Sementara itu Maui pula berhadapan dengan seorang lagi dewi bernama Matangi yang juga orang suruhan Nalo. Matangi menangkap Maui kerana mengetahui bahawa Maui telah bekerjasama dengan manusia dan Moana untuk menyelamatkan dunia sebelum ini. Tindakan itu tidak disukai Nalo yang cuba memecah-belahkan umat manusia.
Moana yang sedang cuba menghabiskan misinya untuk memecahkan sumpahan Nalo bertemu dengan Maui dalam perjalanan di lautan, dan kemudian sama-sama berusaha untuk melawan kuasa Nalo.
Sungguhpun filem kali ini meriah dengan tema keajaiban, namun alur ceritanya seperti kurang puas ditonton. Jika dibanding dengan filem pertama, Moana kali ini seperti sekadar memenuhi kehendak sebuah sekuel dan tidak diperkaya dengan naratif yang lebih jitu.
Biarpun grafiknya hebat dan muziknya memenuhi tanda aras umum animasi Disney, ia kelihatan terlalu mudah dan tidak menimbulkan rasa ingin tahu atau babak yang lebih cemas.
Penonton seolah-olah sudah boleh tahu bahawa semuanya akan berjalan lancar dan tidak banyak gangguan dalam pengembaraan Moana.
Walau bagaimanapun, ia pasti akan disukai oleh kanak-kanak umum, khasnya kanak-kanak perempuan yang meminati penampilan Moana remaja selain nyanyian yang disajikan sepanjang filem.
Ia juga sarat dengan babak-babak lucu yang sekurang-kurangnya dapat membantu untuk menghidupkan lagi filem ini. Di hujung filem juga terdapat bayangan seolah-olah bakal ada sekuel ketiga.
Moana 2 sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia.
