Realme GT 7 Pro adalah antara telefon pintar terawal yang dijana cip Snapdragon 8 Elite. Ia bukan yang pertama di dunia tetapi telah disahkan akan menjadi yang terawal untuk pasaran global dan juga di Malaysia. Adakah cip Snapdragon 8 Elite dengan CPU Oryon sama untuk cip pada komputer mampu menjadikan Realme GT 7 Pro ini sebagai konsol gaming mudah alih baharu?

Jawapannya adalah tidak. Ia mungkin bukan pengganti konsol mudah alih tetapi berpotensi menjadi peranti mercu paling berkuasa dalam sejarah. Realme telah membawakan ciri yang selama ini ditawarkan oleh pesaing, tetapi memuatkannya semua dalam satu pakej peranti mercu biasa. Ia bukan untuk gaming, ia bukan untuk fotografi tetapi seimbang untuk semua keperluan pemiliknya.

Penanda Aras
GT 7 Pro adalah peranti Android pertama di depan mata saya yang boleh mengeluarkan skor penanda aras yang paling tinggi sejak 6 tahun bekerja di Amanz. Dalam ujian AnTuTu 3D, Geekbench 6, Geekbench AI dan juga 3DMark, peranti ini memaparkan skor di luar jangkaan. Berikut ialah senarai markah yang dicatatkan GT 7 Pro dengan Snapdragon 8 Elite apabila dibandingkan dengan cip-cip mercu lain.


AnTuTu 3D
- Snapdragon 8 Elite – 2,642,097
- MediaTek Dimensity 9400 – 2,629,017
- Apple A18 Pro – 1,720,751
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Apple A17 Pro – 1,542,050
- Tensor G4 – 1,016,712
- MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
Geekbench 6
- Snapdragon 8 Elite – 2,789/9,002
- MediaTek Dimensity 9400 – 2663 / 8959
- Apple A18 Pro – 3359 / 8129
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Apple A17 Pro – 2793/6925
- Tensor G4 – 1916/4644
- MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
Geekbench AI
- Snapdragon 8 Elite – 2307/2323/3027
- MediaTek Dimensity 9400 – N/A
- Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
- Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
- Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
- Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
- MediaTek Dimensity 9300 – N/A
3DMark Wild Life Extreme
- Snapdragon 8 Eliete – 5,922
- MediaTek Dimensity 9400 – 6251
- Apple A18 Pro – 4560
- Apple A18 – 3698
- Apple A17 Pro – 3746
- Tensor G4 – 2567
- Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
- MediaTek Dimensity 9300 – 4067
Prestasi Gaming
Untuk cubaan awal, kami mencuba bermain permainan AAA lama yang telah disokong pada peranti Android. Permainan yang saya pilih adalah GTA San Andreas yang percuma dimainkan jika mempunyai akaun Netflix.

Apa yang mengejutkan adalah grafik permainan yang konsisten, nampak cantik dan semua pergerakan adalah lancar. Disebabkan ia bukan pelagak, prestasi adalah pantas dan tiada sebarang masalah lengah masa. Ini tidak mengejutkan kerana cip Snapdragon 8 Gen 3 juga tiada masalah untuk memainkan GTA San Andreas, cuma selepas 10 minit bermain, realme GT 7 Pro masih belum memanas sebaliknya peranti dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 dalam situasi ini akan mula terasa suam.

Untuk permainan yang dibangunkan khusus untuk peranti Android, Call of Duty Warzone dan PUBG Mobile juga tidak menyebabkan sebarang masalah pemanasan selepas dua ke tiga sesi perlawanan. Jika peranti Snapdragon 8 Gen 3 saya kata sudah bagus dalam mengendalikan haba peranti, Snapdragon 8 Elite ini seakan masih terperangkap di dalam bilik dengan pendingin hawa dibuka 24 jam.

Kedua-dua Call of Duty Warzone dan PUBG Mobile menggunakan tetapan grafik paling tinggi dan berkualiti. Kedua-duanya mempunyai pergerakan konsisten 60FPS sepanjang sesi permainan. Penggunaan CPU dan GPU berdasarkan informasi System Status melalui mod gaming turut memaparkan penggunaan kuasa yang efisien.
Permainan seperti PUBG Mobile ada pilihan untuk melewahjamkan CPU dan GPU, memberi kuasa tambahan di luar kebolehan biasa mod GT. Mod ini menyebabkan permainan cuba dijalankan pada kadar 70FPS yang konsisten sambil menggunakan AI untuk memastikan kualiti grafik turut kekal cantik.

Realme GT 7 Pro ini turut didatangkan dengan aplikasi GameHub yang boleh digunakan bersama dengan alat kawalan Gamesir X3 Pro. Aplikasi ini adalah seakan hab gaming yang ditawarkan pada konsol mudah alih atau alat kawalan seperti Backbone dan Razer. Cuma sayang sekali, majoriti permainan AAA melalui penstriman yang ditawarkan pada aplikasi ini tidak boleh dimainkan di Malaysia. Saya juga tidak mengujinya kerana platform penstriman permainan turut boleh dimainkan dengan lancar pada peranti kelas pertengahan.

Apa yang menarik adalah GameHub turut boleh membantu mengawal prestasi peranti seperti dari segi pengurusan haba dengan kipas terbina pada Gamesir. Saya harap alat kawalan ini adalah lebih stabil dan tersedia dalam bahasa Inggeris atau Melayu apabila realme GT 7 Pro mula dijual.

Setakat ini, realme GT 7 Pro masih belum boleh menjadi konsol permainan mudah alih. Selagi tiada permainan AAA moden untuk peranti Android sepertimana pembangun tawarkan kepada iPhone 15 Pro dan iPhone 16, selagi itu peranti mercu Android tersangkut dengan pilihan permainan AAA yang terhad.

Bukan kerana peranti yang tidak mampu menjalankannya atau tidak cukup hebat, tetapi ia bergantung kepada pembangun permainan video itu sendiri. Selepas menggunakan GT 7 Pro selama seminggu, saya boleh katakan ia kini selesa berada dalam senarai peranti paling berkuasa 2024 dan bukan sekadar dalam kategori peranti gaming mercu.
Pelbagai permua boleh dijalankan pada tetapan tinggi dengan cukup selesa tanpa isu pemanasan pada peranti lain yang kami uji. Melihat ke depan, Qualcomm mengatakan telah ada komitmen oleh pengeluar permua di masa hadapan untuk menawarkan permainan AAA dengan teknologi Unreal Engine 5 pada peranti dengan Snapdragon 8 Elite. Ini bermakna apabila permua ini dilancarkan kelak, Realme GT 7 Pro tidak akan mempunyai sebarang isu untuk menjalankannya.
