Mendiang Karupaiya lantang bawa suara masyarakat India: Vigneswaran

Politics
17 Nov 2022 • 8:41 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SUNGAI SIPUT: Pemergian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai M. Karupaiya xemalam amat dirasai kerana mendiang merupakan pemimpin yang lantang membawa suara rakyat terutama masyarakat India, kata Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran.

“Satu situasi sukar. Kehilangan (beliau) pastinya dirasai ahli keluarga. Mendiang merupakan Ahli Parlimen yang sentiasa memperjuang hak dan nasib kaum India hingga ke Parlimen.

“Saya turut bersedih. Takziah kepada keluarga mendiang,” katanya kepada Bernama selepas menyantuni masyarakat di Taman Kledang di sini semalam.

Karupaiya, 69, sepatutnya berdepan saingan enam penjuru menentang lima lagi calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Datuk C. Sivaraj (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

Mengulas proses pengundian di kawasan itu pada Sabtu susulan kematian Karupaiya, Vigneswaran yang juga calon BN di Parlimen Sungai Siput menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita tunggu SPR. MIC tiada masalah. Saya percaya proses pengundian awal telah berlaku. Malah perkara tersebut juga telah termaktub dalam akta (SPR),” katanya. - Bernama