Mendiang Val Kilmer Kembali Berlakon Dalam Filem Dengan Bantuan AI

EntertainmentTechnology
19 Mar 2026 • 10:09 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pelakon Top Gun dan Batman Forever, Val Kilmer meninggal dunia tahun lalu pada usia 65 tahun. Kini selepas hampir setahun pemergian beliau, Val Kilmer akan kembali berlakon dalam filem dengan bantuan kecerdasan buatan. Sebelum meninggal dunia, Kilmer bersetuju membintangi filem As Deep as the Grave tetapi beliau pergi sebelum penggambaran bermula.

image is not available

Pengarah filem Coerte Voorhees meminta kebenaran dua anak Kilmer untuk menggunakan AI bagi menghasilkan filem. Gambar dan arkib peribadi Kilmer akan digunakan bagi membolehkan beliau kembali ke layar perak.

Ini bukan penglibatan pertama Kilmer dengan teknologi AI. Semasa masih hidup suara beliau dijana menggunakan AI dalam dokumentari Val. Kilmer tidak lagi boleh bercakap selepas menjalani pembedahan trakeostomi bagi membuang tumor kanser.

Sebelum Kilmer, kesan khas digunakan untuk menyiapkan filem Furious 7 selepas pelakonnya Paul Walker meninggal dunia dalam kemalangan. Audrey Hepburn juga dihidupkan kembali menggunakan VFX untuk membintangi sebuah iklan.