‘Mendidih darah saya’ – Elvina berang anak difitnah pembantu rumah

LocalFamily & Parenting
25 Oct 2026 • 12:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Mendidih darah saya’ – Elvina berang anak difitnah pembantu rumah

PETALING JAYA – Sudah hilang sabar, pelakon Datin Elvina Mohamad meluahkan rasa berang terhadap pembantu rumahnya selepas wanita itu didakwa memburukkan anaknya sehingga mengganggu hubungan si kecil dengan rakan sebaya.

Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 31, mendakwa pembantu rumah berkenaan bukan sahaja sering menghasutnya supaya memarahi anak sendiri, malah turut menyebarkan cerita tidak benar mengenai kelakuan anaknya.

“Apa betul-betul melampaui batas ialah apabila saya mendapat tahu daripada jiran, iaitu ibu kepada kawan anak saya, bahawa pembantu rumah itu meminta wanita berkenaan supaya tidak membenarkan anaknya berkawan dengan anak saya kerana kononnya anak saya budak jahat. Memang mendidih darah saya ketika itu.

“Sejak mula bekerja, dia selalu menjadi batu api dengan menghasut saya supaya memarahi anak sendiri. Dia juga memfitnah anak saya melakukan macam-macam perkara, sedangkan anak saya langsung tidak berbuat seperti didakwanya.

“Apabila saya mahu memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia mendakwa perbuatan itu tidak kelihatan dalam rakaman. Namun, selepas saya memeriksanya sendiri, semuanya jelas dan anak saya langsung tidak melakukan perkara seperti diceritakan,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang drama Takdir Yang Tertulis itu, sikap pembantu rumah berkenaan turut menimbulkan tanda tanya apabila wanita tersebut didakwa sering memburukkan majikan terdahulu sejak awal mula bekerja dengannya.

“Masa awal-awal masuk kerja, dia sudah mula bercerita buruk tentang majikan lama. Katanya, majikan wanita itu cemburu dengannya kerana suaminya menyukai dia sehingga memberinya bonus bersamaan sebulan gaji.

“Dia mendakwa berhenti kerja kerana tidak suka bersiap atau berhias, kononnya tidak mahu majikan cemburu. Saya sampai mahu tergelak mendengar ceritanya. Memang seperti hidup dalam dunia khayalan sendiri.

“Belum masuk bab terlalu banyak pantang larang. Makanan tertentu tidak boleh dimakan, pakaian tertentu tidak boleh dipakai atas alasan kulit sensitif. Kasut pun tidak boleh dipakai kerana kononnya menyebabkan ekzema, dia juga hanya mahu memakai skirt labuh,” jelasnya.

Elvina turut mengakui pengalaman tersebut cukup mengecewakan kerana pembantu rumah merupakan individu dipercayai untuk membantu menguruskan kediaman serta menjaga kebajikan keluarga ketika majikan sibuk bekerja.

“Bayangkan kita mempunyai seseorang bekerja di dalam rumah dan kita percayakan dia untuk bersama keluarga, tetapi rupa-rupanya dia bercakap buruk tentang kita serta anak-anak di belakang.

“Apabila kami mengetahui perkara itu dan bertanyakan kepadanya, terus keluar drama air mata. Ceritanya pula mula berubah-ubah dan berpusing ke sana sini.

“Saya berkongsi pengalaman ini sebagai peringatan kepada keluarga lain supaya lebih berhati-hati dan tidak melalui pengalaman buruk seperti saya,” ujarnya.

Perkongsian Elvina itu mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian mereka meluahkan rasa simpati terhadap pelakon berkenaan serta menyifatkan tindakan mengheret kanak-kanak ke dalam konflik orang dewasa sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Ada juga netizen berpendapat majikan perlu lebih berhati-hati ketika memilih pembantu rumah, selain memastikan sebarang dakwaan melibatkan anak-anak diperiksa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. – KOSMO! ONLINE.

The post ‘Mendidih darah saya’ – Elvina berang anak difitnah pembantu rumah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved