
GELAK tawa, usikan manja dan sesekali air mata yang tumpah menghiasi ruang legar sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, Sabah pertengahan bulan lalu.
Sekilas pandang, ia kelihatan seperti perhimpunan usahawan wanita biasa, namun di sebalik senyuman mereka, tersimpan seribu satu kisah kecekalan yang jarang didendang.
Bagi ratusan wanita yang bergelar ibu tunggal di Sabah, kehidupan adalah satu perjuangan membina semula sisa-sisa harapan yang berbaki demi masa depan anak-anak.
Justeru, penganjuran Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Peringkat Negeri Sabah baru-baru ini di Ming Garden Hotel & Residence hadir bagaikan payung di kala hujan.
Suasana pada majlis perasmian program yang berlangsung pada hari kedua nyata cukup luar biasa dan penuh dengan aura positif.
Program tersebut disempurnakan dengan penuh gimik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dengan anjuran Jabatan Pembangunan Wanita.
“Program KasihnITa dibangunkan bagi mendayaupayakan ibu tunggal melalui pengetahuan, kemahiran dan sokongan.
“Hal inilah yang dapat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri serta mengurus kehidupan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap.

Kata-kata azimat itu nyata membakar semangat para peserta yang hadir dari segenap pelosok negeri.
Sambutan yang diterima bagi edisi kali ini amat luar biasa apabila pihak penganjur menerima 684 permohonan daripada golongan ibu tunggal di seluruh Sabah.
Disebabkan ruang yang terhad, seramai 150 peserta sahaja yang berjaya disenarai pendek untuk mengikuti fasa bimbingan intensif selama tiga hari dua malam tersebut.
Sepanjang tiga hari berkampung, para peserta telah didedahkan dengan tiga modul utama iaitu literasi perundangan, pengurusan kewangan dan pembangunan psikososial.
Menerusi modul perundangan, para peserta dibimbing untuk memahami hak sivil dan syariah, tuntutan nafkah serta cara bekerjasama dengan pihak mahkamah dan peguam.
Pemahaman itu sangat kritikal agar golongan ibu tunggal ini tidak mudah ditindas atau dipinggirkan dalam menuntut hak yang sepatutnya bagi diri dan anak-anak.

Selain itu, modul pengurusan kewangan pula mendedahkan mereka kepada formula aliran tunai, pengurusan hutang yang bijak serta strategi mengelakkan penipuan kewangan atau ‘scam’.
Pengetahuan itu membolehkan para usahawan ibu tunggal ini menguruskan keuntungan perniagaan kecil-kecilan mereka dengan lebih sistematik dan kalis inflasi.
Bagi salah seorang peserta, Noraini Kassim, 38, dari Sandakan, terpilih ke program ini merupakan satu rahmat yang tidak disangka-sangka setelah setahun bergelar ibu tunggal.
“Apabila mula-mula menjejakkan kaki ke dewan hotel ini, saya rasa sangat kerdil dan rendah diri.
“Perasaan takut dan bimbang tentang masa depan anak-anak sering menghantui fikiran saya,” katanya.
Namun, sebaik sahaja mengikuti modul yang disediakan, pandangan hidupnya berubah sepenuhnya apabila mula menyedari kekuatan sebenar seorang wanita.
“Modul pembangunan psikososial benar-benar menyentuh hati saya, mengajar saya untuk membina semula kekuatan diri, menepis rasa trauma dan bangkit demi maruah keluarga,” katanya.
Penganjur berharap agar para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan daripada ketiga-tiga modul yang telah dikendalikan menerusi pelaksanaan program ini.
Ilmu yang ditimba harus dijadikan titik permulaan untuk melangkah ke arah kehidupan yang lebih yakin, berdikari dan juga sejahtera.
Kejayaan KasihnITa tidak hanya diukur berdasarkan jumlah peserta atau bilangan program yang dilaksanakan semata-mata.
Sebaliknya, impak sebenar dilihat melalui perubahan yang dicapai peserta dalam meningkatkan keyakinan mempertahankan hak, membuat keputusan kewangan yang baik serta membina kehidupan lebih sejahtera.
The post Menepis trauma, pelihara hak ibu tunggal Sabah appeared first on Kosmo Online.
