Meneroka Keunikan Produk Leica Sempena Ulang Tahun Ke-100 Leica

TechnologyDigital
24 Mar 2025 • 5:30 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sempena menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan Leica, kami  dijemput untuk menyertai ekspedisi eksklusif ke Ipoh bagi merasai sendiri pengalaman menggunakan kamera-kamera terbaik mereka. Bukan sekadar merakam detik-detik indah, tetapi juga mendalami seni fotografi melalui pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun khas.

Menambahkan lagi elemen istimewa dalam ekspedisi ini, Leica telah bekerjasama dengan Porsche untuk menyediakan kenderaan rasmi sepanjang perjalanan. Dari perjalanan ke lokasi hingga aktiviti fotografi di pelbagai tempat ikonik di Ipoh, pengalaman ini benar-benar menggabungkan teknologi, seni dan inovasi dalam satu pakej yang luar biasa. Mari saya kongsikan keseronokan dan pengalaman bermakna ini kepada anda!

HARI PERTAMA

image is not available

image is not available

Seawal pagi, peserta berkumpul di Porsche Centre Ara Damansara untuk sesi pendaftaran. Setiap peserta dipinjamkan  sebuah kamera Leica, dan saya sendiri dipinjamkan  Leica SL2 dengan lensa 50mm f1.4 Summilux SL. Taklimat pertama diberikan oleh Kashminni dari Porsche Malaysia, memandangkan perjalanan ke Ipoh akan menggunakan Porsche Taycan iaitu salah satu kereta EV yang ditawarkan mereka. Kieron Long dari Leica turut berkongsi mengenai asas fotografi dan aktiviti yang bakal dilakukan sepanjang ekspedisi.

Sebelum bertolak, kami sempat merakam gambar berkumpulan, dan sekitar jam 8:30 pagi, tiga buah Porsche Taycan memulakan perjalanan ke Ipoh. Sepanjang perjalanan, terdapat beberapa hentian untuk pertukaran pemandu, membolehkan semua peserta merasai pengalaman memandu EV mewah ini.

image is not available

Setibanya di Gunung Lanno, staf Leica memberikan taklimat ringkas sebelum sesi fotografi bermula. Lokasi ini menawarkan pemandangan pepohon hijau, formasi gunung batu kapur, rekahan batuan, serta tasik yang menenangkan. Peserta diberikan cabaran untuk menangkap gambar terbaik dan dua gambar akan dipilih dalam sesi ulasan gambar pada hari terakhir. 

Dengan menggunakan kamera Leica SL2 dan lensa 50mm f1.4 Summilux SL ini, saya dapat merakamkan keindahan semulajadi Gunung Lanno dengan ketajaman dan kejelasan yang luar biasa seperti rekahan pada gunung dan pantulan daripada tasik. Leica SL2 ini menawarkan prestasi fokus yang pantas dan tepat, walaupun dalam pencahayaan yang mencabar, manakala lensa Summilux SL dengan aperture besar f1.4 ini pula dapat  menghasilkan kesan bokeh yang menawan, memisahkan subjek dengan latar belakang dan memberikan kedalaman imej yang menakjubkan. Setiap detik yang dirakamkan memberikan warna yang jernih dan kontras yang tajam, memperlihatkan setiap perincian pemandangan dengan sangat nyata.

image is not available

Leica Ultravid 8×32 HD-Plus, Leica Noctivid 10×42 dan Leica Ultravid BR 10×25 Aquadura

Saya juga berpeluang menggunakan Leica Binoculars, yang menawarkan kualiti imej yang sangat jelas walaupun dari jarak jauh, menjadikannya alat yang sangat berguna untuk meneroka persekitaran sebelum mengambil gambar. Leica Ultravid 8×32 HD-Plus, Leica Noctivid 10×42, dan Leica Ultravid BR 10×25 Aquadura adalah tiga pilihan teropong unggul yang saya telah cuba ketika di sana.


Untuk pengetahuan, Leica Ultravid 8×32 HD-Plus ini memiliki pembesaran 8x dan diameter lensa objektif 42mm serta mampu memberikan pandangan yang tajam dan jelas dengan jarak fokus minimum 3 meter, sesuai untuk pengamatan alam semula jadi dalam jarak dekat. Sementara itu, Leica Noctivid 10×42 pula hadir dengan pembesaran lebih tinggi iaitu 10x, memberikan penglihatan yang lebih jauh dan lebih terperinci, dengan ciri-ciri optik HD yang canggih untuk pengalaman visual yang terbaik. Teropong ini juga mempunyai jarak fokus minimum yang sama iaitu 3 meter dan lapang pandangan yang sangat luas pada jarak 1000 meter.

Bagi mereka yang mencari pilihan yang lebih kompak dan ringan, Leica Ultravid BR 10×25 Aquadura adalah pilihan tepat, dengan pembesaran 10x dan diameter lensa 25mm, sesuai untuk pengamatan yang mudah alih namun tetap memberikan fokus tajam pada jarak 3.2 meter. Ketiga-tiga teropong ini menawarkan kualiti optik terbaik dengan reka bentuk tahan lama, sesuai untuk pengembara dan peminat alam semula jadi yang memerlukan peralatan yang boleh dipercayai dalam pelbagai keadaan cuaca.

image is not available

image is not available

Destinasi seterusnya ialah Tin Alley, lokasi terkenal dengan wet plate photography. Teknik ini menjadi kegemaran ramai, dan jurugambar berpangkalan di Perak, Steve Tan, mengambil peluang untuk membina kamera plat basahnya sendiri serta mendalami teknik ini. Beliau turut berkongsi mengenai proses bagaimana gambar dicuci menggunakan kaedah Negatif Kolodion.

image is not available

Leica SL2 dan 50mm f1/1.4 Summilux SL

Dengan menggunakan kamera Leica SL2 yang dipadankan dengan lensa 50mm f/1.4 Summilux SL, inilah peluang keemasan saya untuk bersinar bersama sistem kamera yang luar biasa ini. Izinkan saya berkongsi serba sedikit tentang kehebatan kamera dan lensa yang saya gunakan.

Leica SL2 merupakan satu-satunya kamera sistem bingkai penuh tanpa cermin yang direka dan dihasilkan sepenuhnya di Jerman sebaris dengan keunggulan Leica M. Dibina dengan rekaan logam pepejal, dilengkapi penarafan IP54, serta balutan kulit elegan, kamera ini bukan sekadar sebuah peralatan fotografi, tetapi juga satu simbol ketahanan dan keselesaan untuk kegunaan bertahun-tahun.

Dengan 47 megapiksel bingkai penuh, SL2 memberikan tahap ketelitian imej yang luar biasa, terutama apabila digandingkan dengan lensa Leica SL. Sistem penstabilan imej dalam badan juga berfungsi dengan cekap untuk mengurangkan kesan gegaran, memastikan imej yang tajam dan berkualiti tinggi walaupun apabila menggunakan lensa legenda Leica M pada badan kamera ini.

image is not available

image is not available

Selain sekadar memahami teknik wet plate photography, sesi ini juga memberi peluang kepada peserta untuk menangkap gambar model wanita bersama Porsche Taycan. Di sinilah saya belajar bagaimana menguruskan setting kamera yang tepat untuk mendapatkan hasil terbaik. Kieron Long banyak membantu dengan memberikan tip bagi menghasilkan gambar yang mempunyai makna tersendiri.

Leica Watch ZM2 dan Leica Watch ZM11

Namun, sesi fotografi ini hanya berlangsung beberapa minit sebelum hujan turun, menyebabkan perlu bertukar rancangan. Model kemudian memakai jam tangan Leica Watch ZM2 dan ZM11, dan semua peserta mengambil peluang untuk menangkap gambar dengan komposisi berbeza. Jam tangan ini menampilkan reka bentuk elegan dengan sentuhan minimalis, diinspirasikan daripada elemen kamera ikonik Leica, menjadikannya bukan sekadar aksesori tetapi juga simbol ketelitian dan ketukangan tinggi.

Saya turut bereksperimen dengan beberapa sudut bagi memastikan hasil gambar lebih pelbagai dan tidak statik. Dengan keunikan reka bentuk Leica ZM2 dan ZM11, setiap sudut memberikan karakter berbeza, sama ada fokus pada dial yang menyerupai butang kawalan kamera atau refleksi cahaya pada kemasan premium jam tersebut. Ini memberikan saya lebih kebebasan untuk menghasilkan visual yang lebih dinamik dan bercerita.

image is not available

image is not available

image is not available

Selain itu, saya juga berpeluang menangkap gambar model lelaki di dalam kereta Porsche Taycan sambil memakai salah satu koleksi jam Leica ZM. Sesi ini benar-benar menguji kreativiti saya dalam menyesuaikan pencahayaan dan komposisi, lebih-lebih lagi kerana lensa yang saya gunakan kurang sesuai untuk ruang yang sempit. Mujurlah dengan bimbingan Kieron Long, saya dapat mencari sudut terbaik dan jarak yang tepat untuk mendapatkan hasil yang menarik.

Jam Leica ZM2 dan ZM11 bukan sekadar jam tangan biasa ia direka dengan ketelitian tinggi, sama seperti kamera Leica. Rekaan minimalis dan elegan, dengan kemasan yang premium, membuatkan jam ini menonjol sebagai aksesori yang sempurna bagi pencinta fotografi dan gaya hidup mewah. Dengan inspirasi daripada reka bentuk klasik kamera, butang kawalan pada jam ini juga menyerupai dial kamera Leica, menambahkan sentuhan eksklusif.

image is not available

image is not available

image is not available

Leica Cine Play 1

Selepas sesi fotografi, kami mengunjungi Sin Yoon Loong, sebuah kafe ikonik yang telah beroperasi sejak 1937. Sebelum menikmati makan malam, kami disajikan dengan pengalaman menonton Leica Cine Play 1, projektor premium dari Leica. Kualiti visualnya sangat mengagumkan, dengan paparan yang jelas walaupun dalam persekitaran cerah, serta bunyi yang sangat memuaskan.

image is not available


Jika anda hendak tahu, Leica Cine Play 1 ini menawarkan reka bentuk yang lebih ringkas dan mudah untuk dipasang. Dengan sambungan yang lancar, anda dapat menyambung peranti tanpa sebarang masalah dan terus menikmati kandungan kegemaran dari aplikasi terbina di dalam atau peranti luaran tanpa sebarang sebarang masalah. Pengalaman menonton di rumah juga, anda boleh merasakan suasana sinematik dan kanta zum Leica Summicron yang mampu mengembangkan saiz skrin sebesar daripada 65 hingga 300 inci. Leica Cine Play 1 memberikan visual 4K yang menakjubkan dengan kecerahan imej yang luar biasa dan warna yang terang, terima kasih kepada gabungan teknologi laser Triple RGB, Pengoptimuman Imej Leica dan kanta Leica Summicron. 

image is not available

HARI KEDUA

Hari kedua bermula dengan lawatan ke The Living Arts Studio, sebuah studio seni seramik yang menghasilkan pelbagai bentuk tembikar seperti pinggan, mangkuk, dan cawan. Kami bertemu dengan Ng Sook Peng, seorang artis seramik terkenal di Ipoh. Beliau berkongsi perjalanan seninya, anugerah yang telah dimenanginya, serta hasil seni yang dihasilkan sepanjang kerjayanya.

image is not available

Ng Sook Peng turut menunjukkan teknik melukis dan mewarna di atas seramik yang telah dipanaskan. Beliau menekankan bahawa pemilihan warna dan lukisan adalah elemen penting bagi menghasilkan karya seni yang indah dan tidak kelihatan suram. Selain itu, beliau juga menunjukkan bagaimana proses pembuatan tembikar dilakukan, termasuk bagaimana beliau sendiri menghasilkan tanah liat untuk digunakan dalam karyanya. Proses yang begitu teliti membuktikan bahawa setiap seni seramik mempunyai nilai dan karakter tersendiri.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Ketika sesi ini, saya mengambil peluang untuk menangkap gambar beliau ketika menghasilkan tembikar, mencuba pelbagai sudut agar setiap imej dapat menceritakan kisah tersendiri. Latar belakang yang dipenuhi hasil seni tembikar miliknya menambah lagi keunikan setiap tangkapan gambar, menjadikannya lebih bermakna dan bercerita tentang dunia seni seramik. 

image is not available

image is not available

image is not available



Kemudian, kami mengunjungi Gaharu Tea Valley iaitu merupakan penanaman pokok Gaharu (Gaharu) hibrid di atas tanah subur yang kaya di Gopeng, yang kini dikenali sebagai Lembah Teh Gaharu. Visi mereka adalah untuk mencipta cara hidup yang holistik menggunakan salah satu rahsia alam semula jadi yang terbaik iaitu hasil pokok Gaharu. Oleh itu nama HOGA, yang sebenarnya adalah singkatan daripada Holistik Gaharu. Saya juga berpeluang untuk merasai sendiri teh asli HOGA yang mempunyai tekstur dan rasa yang uniknya.

Selepas itu, kami menaiki van pergi ke kawasan yang lebih tinggi untuk melihat sendiri keindahan Gaharu Tea Valley ini. Saya juga turut berpeluang untuk menggunakan beberapa model Leica Binoculars seperti Leica Ultravid BR 10×25 AquaDura, Leica NOCTIVID 10×42, dan Leica Ultravid 8X32 HD-Plus. Dengan menggunakan binokular ini, saya dapat melihat burung, pohon, dan dahan dengan lebih dekat. Ternyata setiap model memberikan pengalaman yang menakjubkan, walaupun subjek berada dalam keadaan yang jauh. Lensa berkualiti tinggi yang digunakan memastikan setiap perincian kelihatan lebih jelas dan tajam, menjadikan pengalaman ini lebih imersif.

image is not available


Kami juga telah pergi ke beberapa tempat tumpuan di Gaharu Tea Valley termasuk Lovers Tree yang memperlihatkan dua sosok lelaki dan perempuan seakan sedang menari. Di kawasan ini, beberapa gambar diambil tetapi tidak banyak subjek yang menarik bagi saya. Selepas makan tengah hari, sesi ulasan gambar telah dijalankan di sebuah bilik namun malangnya terdapat masalah teknikal terhadap rangkaian internet yang kurang baik di kawasan tersebut. 

image is not available

Saya juga mendapat pujian daripada Kieron Long tentang gambar yang diambil cantik dan juga mempunyai kreativiti. Disebabkan sesi ulasan gambar tidak dapat dijalankan, aktiviti diganti dengan sesi fotografi model lelaki bersama Leica Watch dan juga kereta Taycan Porsche. Di kawasan terbuka dan cuaca yang agak panas menjadi cabaran kepada saya untuk mencari sudut yang tepat dengan lensa yang miliki adalah berat untuk dibawa. 

Porsche Taycan 4S

Selepas sesi menangkap gambar bersama model berakhir, kami bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum tiba di Pejabat Porsche, saya turut berpeluang untuk merasai pengalaman memandu Porsche Taycan 4S yang menjadi kenderaan rasmi sepanjang perjalanan ini. Ia sebuah kereta yang bukan sahaja berkuasa tetapi juga menawarkan keselesaan serta kawalan pemanduan yang luar biasa.

image is not available

Porsche Taycan 4S hadir sebagai sebuah kereta elektrik berprestasi tinggi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menawarkan kuasa maksimum 544 PS (400 kW) dan tork 695 Nm. Dilengkapi dengan dua motor elektrik pada gandar depan dan belakang, Taycan 4S memberikan lebih banyak kuasa dengan berat yang lebih ringan berbanding model sebelumnya. Dengan kemampuan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.7 saat, serta kelajuan maksimum 250 km/j, model ini memang dibina untuk pengalaman memandu yang luar biasa. Taycan 4S juga dilengkapi dengan ciri kuasa yang berlebihan melalui Launch Control, memberikan kuasa tambahan untuk prestasi yang lebih hebat. Pada harga RM 675,000, Taycan 4S menawarkan jarak perjalanan elektrik sehingga 557 km (WLTP) dengan kapasiti bateri 89 kWh, sementara pengecasan menggunakan arus terus (DC) 150 kW mampu mengisi dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 33 minit.

Kesimpulan

Daripada ekspedisi ini, banyak yang saya telah pelajari bukan sahaja tentang fotografi, tetapi juga bagaimana mencari sudut yang tepat, menjaga jarak dengan subjek, dan memahami keupayaan sebenar kamera Leica. Pengalaman menggunakan salah satu lensa terbaik untuk potret memberikan saya kepuasan tersendiri, walaupun saiz dan beratnya menjadi cabaran, tetapi setiap tangkapan benar-benar berbaloi. Selain itu, peluang memandu Porsche Taycan memberi saya pengalaman pertama dengan kenderaan EV mewah di mana kawalan, keselesaan, dan prestasi berada di tahap yang mengagumkan. Secara keseluruhannya, ia adalah perjalanan yang penuh dengan ilmu, keseronokan, dan pengalaman yang sukar dilupakan!