Menerokai negara ‘Tanah Langit Biru’, pahlawan berkuda Asia Timur

4 Oct 2026 • 10:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Menerokai negara ‘Tanah Langit Biru’, pahlawan berkuda Asia Timur

TERASA sedikit lucu setiap kali terdetik betapa lambatnya saya menjejakkan kaki ke Mongolia. Sebagai seseorang yang telah mengembara ke serata dunia dan mula berkelana menerokai budaya luar sejak remaja, saya sendiri tidak memahami mengapa tarikan negara ini tidak disedari lebih awal.

Namun, sebaik tiba di Mongolia, saya mula memahami mengapa negara ini mempunyai daya tarikan tersendiri.

Mongolia ibarat permata tersembunyi di rantau Asia Timur yang menawarkan pengalaman berbeza daripada kebanyakan destinasi pelancongan lain.

Dikenali sebagai ‘Tanah Langit Biru’, Mongolia terkenal dengan landskapnya yang luas dan kontras. Dari kawasan pergunungan yang beralun hingga dataran rumput atau steppe yang seolah-olah tidak berpenghujung, negara ini turut memiliki Gurun Gobi yang menjadi antara gurun terbesar di Asia Timur dan kedua terbesar di Asia.

Menariknya, di sebalik perkembangan teknologi dan kehidupan moden, masyarakat Mongolia masih mempertahankan warisan budaya yang telah menjadi sebahagian identiti mereka sejak sekian lama iaitu kehidupan nomad.

Hubungan rapat dengan alam dan kecintaan terhadap kuda turut menjadikan masyarakatnya sering dikaitkan dengan tradisi penunggang kuda yang hebat.

Gaya hidup nomad itu juga mempunyai kaitan rapat dengan sejarah panjang Mongolia sebagai tanah kelahiran empayar besar.

Nama seperti Genghis Khan cucunya, Kublai Khan, terus menjadi sebahagian daripada sejarah dunia yang tidak dapat dipisahkan daripada negara ini.

Image from: Menerokai negara ‘Tanah Langit Biru’, pahlawan berkuda Asia Timur
SUKHBAaTAR Square menjadi dataran ikonik untuk bergambar di Ulaanbaatar, Mongolia.

Pengaruh sejarah tersebut turut dapat dilihat pada nama ibu negaranya, Ulaanbaatar yang bermaksud Wira Merah. Nama itu diberikan sebagai penghormatan kepada tokoh revolusi Mongolia, Damdin Sükhbaatar.

Bagi pelancong dari Malaysia, salah satu laluan yang boleh dipertimbangkan untuk ke Mongolia adalah dengan transit di Beijing, China. Dari ibu negara China itu, terdapat beberapa penerbangan yang menghubungkan pelancong ke Ulaanbaatar, antaranya Air China, MIAT Mongolian Airlines dan Hunnu Air.

Satu perkara yang wajar diberi perhatian sebelum berlepas ialah urusan pengangkutan dari lapangan terbang.

Saya memilih untuk membuat tempahan airport transfer lebih awal melalui GetYourGuide. Langkah ini ternyata membantu kerana tidak banyak platform pelancongan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan di Mongolia.

Tempahan awal bukan sahaja memudahkan perjalanan selepas tiba, malah dapat mengurangkan kekeliruan berkaitan bahasa serta risiko dikenakan tambang teksi yang tidak munasabah.

Bagi penginapan pula, memilih hotel, Airbnb atau homestay di kawasan bandar Ulaanbaatar merupakan pilihan yang praktikal. Sistem pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing agak mudah digunakan.

Bagi pelancong dari Malaysia, soal makanan juga tidak boleh dipandang ringan. Pilihan makanan halal di Ulaanbaatar agak terhad, namun terdapat beberapa restoran yang menawarkan makanan halal, khususnya restoran berkonsepkan masakan lanzhou.

Antara hidangan yang boleh dicuba termasuk sate kambing dan lembu berempah, mi tarik serta pelbagai hidangan sayur-sayuran yang sesuai dengan selera masyarakat Malaysia.

Antara yang tidak wajar dilepaskan untuk dikunjungi di Mongolia ialah Sukhbaatar Square, dataran ikonik yang terletak di tengah-tengah Ulaanbaatar.

Kawasan ini dikelilingi bangunan kerajaan yang gah dan menjadi antara lokasi popular untuk bergambar.

Image from: Menerokai negara ‘Tanah Langit Biru’, pahlawan berkuda Asia Timur
Salah sebuah restoran halal yang boleh didapati di Mongolia.

Seterusnya, kunjungan boleh diteruskan ke Green Temple atau Istana Musim Sejuk Bogd Khan, sebuah kompleks bersejarah yang memperlihatkan seni bina tradisional Mongolia.

Bagi menikmati pemandangan Ulaanbaatar dari kawasan lebih tinggi, Zaisan Memorial pula menawarkan pengalaman berbeza.

Monumen berbentuk bulatan besar yang terletak di atas bukit ini mempunyai mural yang memperingati pengorbanan tentera sekutu.

Selepas mendaki tangga menuju ke atas, pengunjung boleh menikmati panorama luas bandar Ulaanbaatar.

Bagi yang ingin membeli cenderahati, State Department Store boleh menjadi pilihan. Ulaanbaatar tidak begitu dipenuhi kedai cenderahati jalanan seperti sesetengah destinasi pelancongan lain, menjadikan pusat beli-belah ini antara tempat praktikal untuk mendapatkan barangan tempatan.

Namun, jika mahu merasai suasana kehidupan masyarakat setempat dengan lebih dekat, singgahlah ke Narantuul Market. Pasar terbuka yang luas dan meriah ini menawarkan pelbagai barangan, daripada pakaian tradisional hinggalah peralatan berkaitan aktiviti menunggang kuda.

Dalam kesibukan pasar, pengunjung bagaimanapun perlu sentiasa menjaga barangan peribadi.

Pengalaman menerokai Ulaanbaatar pula boleh diteruskan ke Turtle Rock atau Melkhii Khad. Formasi granit setinggi kira-kira 24 meter ini terbentuk hasil proses hakisan angin dan hujan selama jutaan tahun sehingga menyerupai seekor penyu gergasi.

Antara tarikan yang paling mencuri perhatian ialah Genghis Khan Equestrian Statue, patung keluli gergasi yang menggambarkan Genghis Khan sedang menunggang kuda. Dengan ketinggian sekitar 40 meter, struktur ini berdiri megah di tengah-tengah kawasan terbuka.

Pengunjung juga boleh menaiki lif menuju ke bahagian atas patung untuk menikmati pemandangan landskap semula jadi di sekelilingnya. Bagi saya, inilah antara pengalaman paling sukar dilupakan apabila berada di Mongolia.

Di sebalik imej Mongolia sebagai negara nomad dan padang rumput yang luas, Ulaanbaatar sebenarnya mempunyai sisi moden yang menarik.

Salah satu perkara yang agak mengejutkan saya ialah kemunculan rangkaian kedai serbaneka CU dari Korea Selatan yang boleh ditemui di pelbagai lokasi sekitar bandar.

Kehadirannya memperlihatkan pengaruh budaya dan ekonomi Korea Selatan yang semakin ketara di Mongolia.

Ulaanbaatar turut menerima jolokan ‘Mongtan’, gabungan Mongolia dan Dongtan, dalam kalangan sesetengah komuniti Korea. Fenomena ini antara lain dikaitkan dengan pengaruh gelombang K-Culture, pelaburan korporat serta peningkatan pelancong Korea yang datang untuk menikmati aktiviti luar dan pengalaman bermalam di dalam ger iaitu khemah tradisional Mongolia.

Tidak ketinggalan, Ulaanbaatar turut mempunyai Hard Rock Cafe yang mengetengahkan elemen budaya Mongolia.

Mongolia akhirnya meninggalkan kesan sebagai sebuah destinasi yang penuh dengan kontras. Di satu sisi, Ulaanbaatar berkembang sebagai sebuah bandar moden dengan pusat beli-belah, restoran antarabangsa dan pengaruh budaya global.

Di sisi lain, hanya beberapa jam perjalanan dari pusat bandar, landskap berubah menjadi kawasan luas yang dihiasi pergunungan, padang rumput dan kehidupan masyarakat yang masih dekat dengan tradisi nomad.

Kontras itulah yang menjadikan Mongolia begitu menarik. Negara ini bukan sekadar kisah tentang Genghis Khan, kuda atau Gurun Gobi, tetapi tentang sebuah masyarakat yang berjaya membawa warisan lama ke tengah-tengah dunia moden.

The post Menerokai negara ‘Tanah Langit Biru’, pahlawan berkuda Asia Timur appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved