Mengapa hukuman dirombak dari 24 tahun ke 14 bulan penjara? Ini penjelasannya

LocalPolitics
9 Dec 2024 • 1:30 PM MYT
LifestyleAsia MY
LifestyleAsia MY

Your access to the good life in Malaysia

image is not available

Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali dengan nama PU Azman, hukumannya kini dirombak semula kepada penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki pada Jun 2022.

Bagaimana dari hukuman penjara 24 tahun dirombak kepada 14 bulan? Menurut laporan Bernama, tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas representasi diterima oleh Jabatan Peguam Negara, dengan rayuan peguam memohon hukuman ringan atas faktor keinsafan dan berjanji untuk berubah menjadi warganegara yang baik.

PU Azman mengaku bersalah

Sebelum ini, PU Azman telah dijatuhkan hukuman 24 tahun penjara dan dua sebatan atas kesalahan serupa melibatkan remaja lelaki lain. Dan pendakwaan menegaskan hukuman itu adalah wajar dan bersifat pengajaran kepada masyarakat, memandangkan tertuduh adalah figura awam.

PU Azman dilaporkan telah membuat pengakuan mengaku bersalah itu di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid selepas representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara diterima bagi menukar pengakuan sebelum ini yang mengaku tidak bersalah.

Representasi berkenaan telah dikemukakan oleh PU Azman pada Oktober lepas dan diterima Jabatan Peguam Negara pada awal November.

Melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki

Mengimbas kembali apa yang terjadi, PU Azman didakwa melakukan amang seksual atau kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek di sini pada 9.15 malam, 10 Jun 2022.

Kesalahan yang didakwa itu adalah dibawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang sekiranya disabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun.

Menurut laporan dari Bernama, prosiding tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala Azman Syah atau PU Azman sendiri diwakili Peguam Fahmi Adilah.

PU Azman menyesal dengan perbuatannya

image is not available

Peguam yang mewakili PU Azman, Fahmi mengemukakan rayuan memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya selain memaklumkan pengakuan bersalah itu didorong faktor keinsafan dan menyesal atas perbuatannya. Selain itu tertuduh berjanji kepada mahkamah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna.

“Anak guam saya juga memohon maaf kepada mangsa yang terlibat dan kerajaan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung (sebelum representasi diterima Jabatan Peguam Negara),” katanya.

Sebaliknya bagi Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah, yang menegaskan sebagai seorang pendakwah selebriti dan sebagai orang yang berpengaruh dalam agama, perkara itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap pengadu yang ketika itu masih berusia 18 tahun selain pengakuan bersalah bukan faktor yang patut diambil kira oleh mahkamah untuk memberikan ‘diskaun’ terhadap hukuman.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga terhadap masyarakat sejagat secara am,” jelasnya.

Sebelum ini, Azman Syah atau PU Azman telah diperintahkan menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lepas.


Note : The information in this article is accurate as of the date of publication.