
RAMAI yang cuba menghuraikan mengapa sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin berkurangan. Pelbagai pandangan dikemukakan, namun pada hemat saya, terdapat beberapa faktor yang sering dibangkitkan oleh masyarakat.
- Persepsi wujudnya layanan dwistandard
Antara isu yang paling kerap diperkatakan ialah persepsi berlakunya layanan dwistandard dalam penguatkuasaan undang-undang dan tindakan terhadap sesuatu kes.
Sebahagian rakyat masih mempersoalkan beberapa isu yang dianggap tidak ditangani secara konsisten, termasuk kes pencerobohan tanah dan pembinaan tanpa kelulusan. Bagi mereka, tindakan yang dilihat tidak seimbang menimbulkan persoalan tentang keadilan dalam pelaksanaan undang-undang.
Persepsi sebegini tidak hilang begitu sahaja. Ia disimpan dalam ingatan pengundi dan akhirnya mempengaruhi keputusan mereka di peti undi. Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan sentimen tersebut memberi kesan terhadap corak sokongan rakyat.
- Gaya berpolitik dan peranan pempengaruh
Datuk Seri Rafizi Ramli pernah mengingatkan PH boleh kehilangan sokongan jika perdebatan politik lebih banyak dipenuhi serangan peribadi, fitnah dan kata-kata kesat daripada hujah yang berasaskan fakta serta dasar.
Rakyat hari ini menilai bukan sahaja tindakan pemimpin, malah cara mereka berkomunikasi. Perbahasan yang terlalu emosional, kecenderungan menyerang peribadi lawan serta penggunaan bahasa yang keterlaluan boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Perkara sama turut dikaitkan dengan sebahagian pempengaruh politik yang dilihat lebih gemar mencetuskan pertikaian di media sosial berbanding mengemukakan hujah yang membina. Walaupun kandungan mereka mendapat perhatian ramai, namun jumlah tontonan yang tinggi tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan politik.
Sebaliknya, sebahagian pengundi memilih untuk meluahkan pendirian mereka ketika hari pengundian.
- Isu yang menyentuh institusi raja dan agama
Selain itu, isu yang melibatkan institusi raja dan agama Islam turut mempengaruhi sentimen pengundi, khususnya dalam kalangan mereka yang masih belum mempunyai pendirian politik yang tetap.
Sebarang kenyataan atau tindakan yang dilihat menyentuh kedudukan institusi diraja atau berkaitan hal ehwal Islam mudah mencetuskan reaksi masyarakat. Keadaan menjadi lebih sensitif apabila timbul tanggapan bahawa isu tertentu tidak ditangani dengan sewajarnya atau tidak mendapat penjelasan yang memuaskan.
Dalam suasana seperti ini, rakyat bukan sahaja menilai pendirian pihak yang terlibat, malah turut memerhati respons pemimpin lain dalam gabungan tersebut. Bagi sebahagian pengundi, sikap berdiam diri atau kegagalan memberikan penjelasan yang jelas turut membentuk persepsi terhadap keseluruhan gabungan politik. –UTUSAN
MEOR SHAARI
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi
The post Mengapa rakyat tolak PH? appeared first on Utusan Malaysia.
