Sejak sekian lama, rasuah kekal menjadi barah dalam negara, dan ia terus berakar-umbi, mencengkam kukuh setiap aspek pentadbiran.
Ketika ekonomi Malaysia masih berada di ambang pemulihan, jenayah itu membawa bersama ketirisan dana awam yang menyebabkan negara menanggung kerugian jutaan ringgit.
Natijah ditanggung Malaysia akibat rasuah bukan sedikit, malah ia membawa kepada kemerosotan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2022, yang menyaksikan kedudukan negara menjunam kepada 47 mata, berbanding 48 tahun sebelumnya.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, seperti dilaporkan Berita Harian berkata, lebih rendah skor diterima, lebih tinggi jumlah jenayah rasuah yang berlaku.
Katanya, skor berkenaan jelas merisaukan, sekali gus memerlukan tindakan lebih berkesan daripada kerajaan serta pihak berkepentingan lain.
Perangi Rasuah, Tiada Lagi Ruang Untuk Bersembunyi
Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memacu pentadbiran bersama jentera Kerajaan Perpaduan sedikit sebanyak mengubah senario itu.
Ketegasan beliau memerangi amalan rasuah yang sudah beranak-pinak di negara ini dilihat ramai berhasil mewujudkan satu anjakan paradigma.

Tiada lagi ruang untuk bersembunyi, sebaliknya semua kaedah dan taktik digunakan perasuah dibongkar habis-habisan, membawa kepada pendakwaan terhadap beberapa individu berprofil tinggi.
Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 menyaksikan Malaysia tidak lagi bersikap ‘tunggu dan lihat’, sebaliknya sudah mula melancarkan ‘serangan bertali-arus’ terhadap amalan korupsi dan manipulasi dana rakyat yang telah sekian lama membelenggu sistem perolehan negara.
Kehadiran RUU tersebut yang mengandungi 93 fasal bukan sekadar satu penambahan kepada helaian buku undang-undang, sebaliknya sebuah manifestasi akauntabiliti mutlak.
Dengan fokus utama mematikan ruang ‘perniagaan dalam perniagaan’ melalui larangan tegas pemindahan kontrak tanpa izin, ia menutup pintu kepada taktik klasik yang sering digunakan oleh 'kontraktor atas pagar' untuk mengaut keuntungan atas angin.
Lebih daripada itu, tindakan kerajaan mengisytiharkan campur tangan politik dalam keputusan tender sebagai satu jenayah membawa mesej yang teramat jelas; proses perolehan adalah wilayah profesional, bukan medan pertukaran budi atau kepentingan peribadi.
Jerung Didakwa, Ikan Bilis Tunggu Giliran
Pembongkaran kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) mengejutkan banyak pihak, dan ia membuktikan ikrar Anwar untuk memerangi rasuah bukan sekadar retorik politik.
Ternyata Perdana Menteri tidak memilih bulu dan tidak gentar berdepan kecaman ramai khususnya pembangkang, kerana Jana Wibawa adalah projek yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pendakwaan ke atas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Wan Saiful) pada Februari 2023 dan Muhyiddin sendiri pada Mac tahun sama berhasil memulihkan keyakinan awam, yang sebelum ini hampir ‘berputus asa’ dengan ulah pemimpin.

Realitinya, antara cabaran terbesar dalam memulihkan kepercayaan rakyat adalah persepsi bahawa undang-undang hanya ‘tajam berbisa’ apabila ke bawah, tetapi tumpul di bahagian atas.
Namun, rentetan penahanan dan pendakwaan individu berprofil tinggi ini termasuk mereka yang berada di lingkaran kuasa telah memecahkan mitos tersebut.
Tindakan terhadap 'jerung' dan figura korporat yang rapat dengan kepimpinan utama negara membuktikan bahawa tiada lagi ‘zon selamat’ untuk mereka yang menyalahgunakan dana awam.
Strategi ini bukan sahaja bertujuan untuk menghukum, tetapi berfungsi sebagai langkah pencegahan psikologi yang amat berkesan bagi seluruh ekosistem perolehan kerajaan.
Rasuah ATM Dibongkar, Hapuskan Pengkhianat Negara
Januari 2026 hadir bersama kejutan besar, apabila dua pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Jeneral didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan masing-masing tampil sebagai PAT serta PTD pertama dihadapkan ke mahkamah atas jenayah seumpama itu.
Walaupun pada zahirnya mereka ‘innocent until proven guilty’ mengikut sistem kehakiman, hakikat bahawa kedua-duanya telah dihadapkan ke mahkamah sedikit sebanyak memalit lumpur terhadap jentera pertahanan negara.

Serentak dengan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) berikrar mengambil langkah drastik bagi membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran integriti dalam ATM.
Memberi amaran keras, menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prinsip akauntabiliti akan dikuatkuasakan tanpa pilih kasih merangkumi seluruh warga tentera, termasuk barisan jeneral berpangkat tertinggi.
Menurut beliau, mana-mana anggota yang didapati bersalah bakal kehilangan maruah sebagai pahlawan, malah mereka yang berdepan pertuduhan jenayah akan diserahkan sepenuhnya kepada sistem perundangan negara.
“Bagi kes yang melibatkan aktiviti tidak bermoral seperti budaya hedonisme dan salah laku pentadbiran, mahkamah tentera akan membuat penghakiman.
“Apa yang jelas ialah Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi sesiapa pun,” tegasnya pada sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Mohamed Khaled memberitahu, pendirian kementerian adalah sangat jelas iaitu tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan seumpama itu.
Strategi Pemulihan Aset Bawa Isyarat Global
Keberkesanan sesebuah sistem tadbir urus sering kali diukur melalui sejauh mana ia mampu membetulkan kesilapan masa lalu.
Dalam konteks ini, kejayaan Malaysia memulihkan kira-kira RM29.8 bilion atau 70 peratus daripada dana 1MDB yang diselewengkan adalah satu pencapaian yang luar biasa di peringkat global.
Angka ini bukan sekadar statistik tetapi ia adalah bukti bahawa sinergi antara komitmen politik, kecerdasan sistem kewangan dan ketegasan perundangan mampu membawa pulang hak rakyat yang telah dilarikan merentas sempadan.
Ia meletakkan tanda aras baharu bahawa harta jenayah rasuah tidak akan dibiarkan lesap begitu sahaja.
Inovasi Tadbir Urus Dan Pembangunan Sosioekonomi
Transformasi kerajaan dalam menangani gejala rasuah tidak terhenti pada aspek punitif semata-mata.
Tadbir urus yang diperkukuh adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif.
Dengan menutup ruang manipulasi, kerajaan kini mempunyai kapasiti kewangan yang lebih teguh untuk memartabatkan barangan tempatan, memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta memandu negara ke arah ekonomi hijau yang lebih lestari.
Kini adalah masa untuk semua pihak memberikan sepenuh kerjasama kepada jentera kerajaan, menjadi mata dan telinga yang tidak pernah leka, demi memastikan jenayah rasuah tidak lagi bermaharajalela.
Seorang Anwar Ibrahim mungkin mampu menggegarkan negara dengan ketegasan dan kesungguhannya mentadbir, namun beliau masih memerlukan sokongan padu rakyat.
Rasuah mungkin sudah berakar umbi menjadi barah, namun bukan mustahil untuk ia dicegah. - Getaran, 11 Februari 2026
