Menghadapi halangan Covid semasa PRU15

Politics
14 Nov 2022 • 6:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Gelombang terbaharu kes Covid-19 nampaknya memberi kesan kepada kerja-kerja kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun begitu, calon pilihan raya dan petugas kempen mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk mencegah jangkitan dan, jika dijangkiti, menggunakan cara alternatif untuk menghantar mesej mereka kepada pemilih.

Pemilih juga berhati-hati, dengan memakai pelitup muka dan menggunakan sanitiser ketika menghadiri ceramah secara bersemuka.

Kesemua mereka berhati-hati dengan peningkatan 57.3 peratus dalam jumlah kes kepada 26,616 pada minggu berakhir 5 Nov, meningkat daripada 16,917 pada minggu sebelumnya, seperti yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada 7 Nov.

Bagaimanapun, terdapat kes calon didapati positif Covid-19, disebabkan sifat varian terbaharu yang sangat mudah berjangkit, dan terpaksa menjalani kuarantin.

Setakat ini, dua calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR di Perak disahkan positif Covid-19 iaitu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi, dan calon Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.

Wong, yang disahkan positif Covid-19 pada 9 Nov berkata beliau membuat klip video untuk digunakan pasukan yang berkempen untuknya kepada pengundi selain memberi ceramah secara dalam talian ketika menjalani kuarantin.

Dalam tempoh kuarantin itu, pasukan calon berkenaan memainkan peranan penting bagi memastikan hala tuju dan mesej yang ingin disampaikan calon terbabit dapat menyentuh hati pengundi, selain menggunakan medium media sosial dan Internet untuk berinteraksi dengan masyarakat.

“Media sosial masih satu platform untuk saya jalankan kempen tidak kira saya kuarantin atau tidak. Ada juga, saya masuk Streamyard (aplikasi penstriman secara langsung) di rumah dan ditayangkan pada projektor di tapak ceramah selain berceramah secara langsung di Facebook,“ kata Wong ketika dihubungi Bernama.

Tan pula yang telah menamatkan tempoh kuarantin pada 11 Nov berkata beliau turut meluangkan masa kuarantin dengan berkempen secara maya dengan bantuan jentera parti turun berkempen membawanya bertemu pengundi menggunakan panggilan video di tempat awam seperti medan selera dan pasar.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu) yang mempertahankan kerusi Parlimen Larut di Perak berkata pasukannya telah menghantar pelitup muka kepada penduduk di kawasan itu sebagai antara langkah memastikan penularan Covid-19 terkawal, dengan mengambil kira pelaksanaan kempen secara dalam talian agak sukar di kawasan kampung.

“Ada kumpulan yang nak memastikan juga kempen melalui online itu berlaku, tetapi bukan bermakna di kampung (masyarakat) akan menerima (mesej) apa yang kita sampaikan, kita terpaksa turun juga dan kempen dari rumah ke rumah.

“Tetapi yang pastinya kita kena berjumpa dengan seberapa ramai yang mungkin untuk menerangkan apa yang akan kita lakukan, manifesto telahpun kita ketengahkan, semua itu kita kena terangkan,“ kata Menteri Dalam Negeri itu.

Di kerusi Parlimen Gombak di Selangor, calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau mengambil pendekatan melaksanakan program secara kecil-kecilan serta sentiasa menasihati jenteranya untuk tidak melibatkan diri dalam kempen sekiranya berasa tidak sihat.

“Kempen pun saya minta untuk adakan secara yang tidak besar supaya tidak mengumpulkan ramai orang ... saya lebih suka ‘pocket’ kempen dan buat penglibatan dengan kumpulan kecil,” katanya.

Antara pesaing di kerusi berkenaan, calon PH daripada PKR Datuk Amirudin Shaari berkata beliau tidak akan berkempen secara bersemuka jika dirinya tidak sihat kerana menyedari jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor itu turut berkata beliau sering mengingatkan jentera dan penduduk terlibat dalam kempennya untuk mematuhi SOP membendung jangkitan Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Ampang (Selangor) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata sekiranya dijangkiti Covid-19 dalam tempoh berkempen berkata beliau terpaksa membuat ucapan menerusi klip video untuk menyampaikan mesejnya supaya bahan itu dapat dibawa pasukannya turun padang bersemuka dengan pengundi.

“Saya banyak berjumpa dengan orang, turun padang jumpa dengan pengundi kerana apabila buat kerja kempen ini kita kena ‘sentuh’ pengundi. Media sosial adalah untuk peringkat nasional tetapi tidak berkesan untuk kita dalam kawasan,“ kata Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang merupakan calon PH daripada Amanah untuk kerusi Parlimen Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berkata selain menjaga SOP ketika bertemu pengundi, sekiranya dijangkiti Covid-19 maka beliau terpaksa berkempen secara dalam talian menerusi video, sebaran mesej di aplikasi WhatsApp, Twitter dan sebagainya.

Sementara, Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datin Che Asmah Ibrahim yang bertanding di Sepang, Selangor, berkata beliau mementingkan pematuhan SOP apabila bertemu dengan pengundi ketika berkempen. Beliau berharap mereka juga melakukan perkara sama.

“Maknanya sekarang pun berkempen kita tidak salam, kemudian kita ada flyers kita perkenalkan diri daripada flyers. Kemudian kita ambil langkah-langkah dengan menggunakan sanitiser, “ katanya.

Calon perlu lebih berhati-hati kerana kempen akan dipergiatkan dalam tempoh lima hari sebelum pengundian pada 19 Nov. - Bernama