Mengiktiraf Pembangunan Malaysia MADANI Melalui Anugerah Harta Intelek Negara 2024

29 Apr 2024 • 9:29 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mengiktiraf Pembangunan Malaysia MADANI Melalui Anugerah Harta Intelek Negara 2024

PETALING JAYA, 26 APRIL 2024Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini menganjurkan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang rakyat Malaysia dalam penghasilan harta intelek yang memberi manfaat kepada orang ramai dan negara secara keseluruhannya.

Bertemakan “Harta Intelek Nadi Malaysia Madani”, sambutan HHIN tahun ini menekankan kepentingan melindungi harta intelek sebagai asas kepada pembangunan negara yang berbudaya dan inovatif. Pengiktirafan ini diberikan kepada pencipta dan pereka cipta terbaik serta organisasi yang berperanan dalam bidang harta intelek.

Anugerah Harta Intelek Negara ini diadakan menerusi pertandingan yang dibuka kepada individu, syarikat swasta dan badan kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat multinasional dan MyIPO telah menerima sebanyak 260 penyertaan. Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek merupakan anugerah tertinggi yang menawarkan hadiah berjumlah RM30,000.

Selain itu, Anugerah Teknologi Hijau, Anugerah Karya Lestari, Anugerah Milenial, dan Anugerah Permata turut memberi pengiktirafan kepada harta intelek yang menonjol dalam aspek teknologi hijau, kelestarian inovasi, kreativiti, dan nilai komersial. Melalui pengiktirafan ini, MyIPO berharap dapat mendorong pencipta dan pereka cipta tempatan untuk terus menghasilkan inovasi yang bermakna bagi kemajuan negara.

Sementara itu, MyIPO telah memperkasa keberadaan di peringkat antarabangsa untuk merealisasikan aplikasi harta intelek dengan industri baharu sebagai menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0. Malaysia. MyIPO telah dipilih oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) sebagai salah satu negara di Asia Tenggara (ASEAN) untuk mempelopori projek Agriculture 4.0 dalam meningkatkan pengetahuan, kepakaran serta penggunaan Artificial Intelligence atau A.I dalam sektor pertanian. Kini, pihak MyIPO dalam proses penelitian syarikat-syarikat yang disenarai pendek oleh WIPO untuk terlibat dalam projek ini.

Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di Asia yang diberi mandat untuk menjayakan projek Empowering Youth (K-12) to Innovate for a Better Future yang membawa misi memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah bersama-sama tiga negara dari benua Amerika Selatan, Afrika dan Eropah. Projek ini juga dilihat sebagai satu platform kepada generasi muda mendepani isu-isu negara dan global melalui harta intelek sebagai instrumen penggalak inovasi.

Bagi meningkatkan kapasiti usahawan tempatan, Malaysia turut terpilih dalam projek IP Management Clinic Program (IPMC) fasa pertama yang memberi fokus kepada syarikat PKS dan startups untuk melebar sayap ke pasaran antarabangsa dengan mengaplikasi harta intelek dalam aktiviti pengkomersialan. Pelaksanaan klinik ini akan dianjurkan di dua lokasi strategik iaitu Kuala Lumpur yang melibatkan 40 usahawan manakala 20 usahawan di Kota Kinabalu.

Sempena sambutan HHIN2024 kali ini, MyIPO turut menawarkan pengecualian fi bagi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh sebulan bermula dari 24 April hingga23 Mei 2024 tertakluk kepada terma dan syarat. Keputusan ini dibuat dengan tujuan menggalakkan lebih banyak pendaftaran cap dagangan serta untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk melindungi hak harta intelek mereka.
MyIPO telah menerima sebanyak 61,600 permohonan harta intelek berbanding 59,699 dalam tempoh yang sama pada tahun 2022. Daripada jumlah tersebut 21,490 permohonan adalah permohonan harta intelek tempatan dengan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun sebelumnya. Untuk itu, MyIPO akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk meningkatkan pemfailan tempatan ke arah meningkatkan kreativiti dan eksploitasi harta intelek negara.