
Krisis tenaga global yang melanda dunia hari ini bukan lagi sebuah naratif geopolitik asing, melainkan satu realiti pahit yang mula mencengkam struktur fiskal Malaysia.
Peningkatan mendadak harga komoditi bahan api serta gangguan rantaian bekalan dunia meletakkan kedudukan kewangan negara dalam situasi yang amat mencabar.
Ini jelas kelihatan menerusi laporan prospek ekonomi oleh Kementerian Kewangan (MOF) yang menyaksikan unjuran bebanan subsidi negara berisiko melonjak melebihi paras purata tahunan, sekiranya tiada langkah intervensi drastik diambil untuk mengawal aliran tunai negara.
Meski keadaan jelas merungsingkan, Malaysia setidaknya masih bertuah kerana Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pantas menyedari impak rantaian ini terhadap kos sara hidup, lantas segera mengumumkan beberapa pendekatan segera dan berfasa bagi mengimbangi kejutan ekonomi ini.
Persoalannya, sejauh manakah langkah-langkah ini mampu bertahan sebagai solusi jangka panjang, dan apa pula peranan yang perlu dimainkan oleh seluruh lapisan masyarakat?
Ekonomi MADANI
Sejak menerajui pentadbiran, Perdana Menteri yang pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia 1996 oleh majalah kewangan antarabangsa Asiamoney secara konsisten mempromosikan kerangka Ekonomi MADANI.
Kerangka berkenaan antara lain menekankan penstrukturan semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, di samping meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat.
Bagi menangani tekanan fiskal yang kian meruncing akibat krisis global, beliau turut menggariskan beberapa intervensi bersasar merangkumi penjimatan operasi, kelonggaran dasar perniagaan, dan bantuan kos sara hidup secara langsung.
Sebagai usaha mengurangkan penggunaan tenaga secara drastik, dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) kembali dilaksanakan bagi beberapa sektor bersesuaian dan langkah ini bukan sahaja menjimatkan utiliti di pejabat kerajaan dan swasta, malah mengurangkan beban subsidi petrol kenderaan ulang-alik yang ditanggung kantung negara.
Malah, sebagai langkah simbolik penjimatan dana awam bagi memastikan setiap sen peruntukan dioptimumkan, Anwar turut menetapkan keputusan tegas untuk tidak mengadakan penganjuran rumah terbuka besar-besaran bagi perayaan utama, termasuk Aidilfitri, yang biasanya menuntut perbelanjaan logistik dan keraian dalam jumlah amat tinggi.
Pelan Mitigasi
Sektor perniagaan juga tidak diabaikan dalam pelan mitigasi ini bagi memastikan roda ekonomi domestik terus berputar aktif.
Menyedari sektor pembinaan, pertanian, logistik, dan pelancongan adalah tulang belakang ekonomi yang paling rapuh, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyediakan peruntukan jaminan tambahan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) mengekalkan akses kepada pembiayaan modal kerja.
Pada masa sama, fleksibiliti pematuhan cukai turut diberikan, yang menyaksikan pelaksanaan e-invois Fasa 4 bagi perniagaan dengan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta diberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027.
Kelonggaran tanpa penalti ini secara langsung memberi ruang bernafas kepada peniaga untuk mematangkan sistem pengurusan digital mereka tanpa tekanan perundangan yang membebankan.
Melengkapi pakej intervensi ini adalah strategi pengurusan kos sara hidup dan pemantapan sektor agro-makanan negara di peringkat akar umbi yang menjadi keutamaan dalam agenda ihsan MADANI.
Program Jualan Rahmah pula diperluas secara besar-besaran sehingga 30,000 penganjuran di seluruh negara, menyasarkan semua kawasan DUN sekurang-kurangnya sekali seminggu dengan tawaran harga lima hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
Di peringkat sektor tani, pembayaran insentif pembajakan padi sebanyak RM200 sehektar didahulukan kepada 240,000 pesawah berdaftar bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan tempatan.
Sinergi ini diperkuatkan lagi dengan penurunan kadar sewa premis milik agensi kerajaan bermula Mei 2026 demi meringankan kos operasi para peniaga kecil yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa.
Langkah-langkah yang diumumkan ini memperlihatkan anjakan penting dalam falsafah penyampaian bantuan kerajaan.
Berdasarkan corak agihan ini, bantuan tidak lagi bersifat eksklusif kepada kumpulan rentan atau golongan B40 dan M40 sahaja, sebaliknya kesan positifnya turut dirasai semua kumpulan rakyat termasuk rantaian perniagaan kelas menengah.
Data profil isi rumah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan golongan M40 bandar sering kali tercicir daripada skim bantuan konvensional, maka pendekatan inklusif PMX seperti penurunan sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan dan kestabilan harga barang melalui Jualan Rahmah merupakan langkah tepat yang memberikan keadilan sosial kepada semua segmen pembayar cukai.
Daya Tahan Dasar
Bagaimanapun, secara rasional dan kritis, kita harus mempersoalkan kemampanan jangka panjang beberapa dasar ini tanpa sekadar menerima pengumuman politik secara bulat-bulat.
Walaupun BDR mampu menjimatkan tenaga, ia berisiko menjejaskan produktiviti dan melambatkan proses birokrasi perkhidmatan awam yang amat diperlukan oleh sektor korporat untuk memulihkan ekonomi, jika dilaksanakan tanpa mekanisma pemantauan indeks prestasi utama (KPI) digital yang ketat.
Kritikan juga perlu dihalakan kepada bentuk bantuan pembiayaan yang dipilih.
Suntikan jaminan RM5 bilion melalui SJPP pada hakikatnya adalah satu bentuk komitmen hutang dan bukannya geran tunai, dan lambakan pembiayaan ini berisiko meningkatkan kadar herotan kredit sekiranya sektor pembinaan atau pelancongan gagal pulih seperti yang dijangkakan akibat faktor luar kawalan.
Begitu juga dengan Program Jualan Rahmah yang memerlukan pemantauan ketat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Memperluas program sehingga 30,000 penganjuran menuntut kos subsidi pasaran dan pengurusan logistik yang amat tinggi daripada dana awam.
Langkah ini merupakan satu bentuk intervensi pasaran sementara yang tidak menyelesaikan masalah struktural penawaran makanan atau isu monopoli rantaian bekalan yang menjadi punca utama inflasi domestik.
Sekiranya rantaian pengeluaran tempatan terus bergantung kepada barangan import yang harganya tidak menentu di pasaran global, maka bajet negara akan terus tiris untuk mengekalkan harga murah tiruan ini.
Bagi memastikan Malaysia tidak sekadar bertahan tetapi mampu bangkit dengan struktur ekonomi yang lebih berdaya tahan, beberapa reformasi struktural yang inklusif perlu dilaksanakan segera sebagai solusi alternatif.
Usaha PMX yang giat menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi daripada gergasi teknologi dunia perlu disusuli dengan peralihan ke arah Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara agresif.
Kerajaan wajar mengalihkan sebahagian dana subsidi jangka pendek kepada geran pemasangan panel solar komersial dan domestik secara meluas.
Menurut laporan pelan hala tuju peralihan tenaga oleh International Renewable Energy Agency (IRENA), pelaburan dalam infrastruktur hijau terbukti memberikan pulangan jangka panjang yang lebih stabil serta mengurangkan kebergantungan negara pada kos utiliti fosil yang sentiasa turun naik akibat pergolakan geopolitik dunia.
Selain itu, reformasi menyeluruh dalam sektor agri-sekuriti negara perlu diutamakan berbanding sekadar menyalurkan insentif tunai secara berkala.
Selari dengan hasrat PMX untuk membasmi kemiskinan tegar dan memperkasa komuniti luar bandar, kerajaan sewajarnya melabur secara intensif dalam teknologi pertanian pintar, sistem fertigasi moden, dan Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk meningkatkan hasil padi sehektar secara drastik, sekali gus menyamai standard pengeluaran dan kecekapan negara jiran seperti Vietnam dan Thailand.
Tempoh penangguhan e-invois sehingga penghujung tahun 2027 juga tidak harus disia-siakan begitu sahaja; kerajaan perlu bekerjasama dengan institusi perbankan untuk menyediakan geran sepadan khusus untuk pendigitalan PMKS mikro supaya fasa peralihan ini benar-benar efektif dan meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.
Kesedaran Sivik Dan Komitmen
Kesimpulannya, krisis tenaga global ini masih belum menampakkan sebarang petunjuk akan reda dalam masa terdekat.
Data daripada International Energy Agency (IEA) secara konsisten menunjukkan bahawa ketidaktentuan pasaran bahan api akan terus memberikan tekanan inflasi kepada ekonomi membangun di seluruh dunia.
Oleh itu, langkah proaktif kerajaan ini tidak akan mencapai objektifnya sekiranya tidak disambut dengan kesedaran sivik dan komitmen yang tinggi daripada rakyat.
Saranan penjimatan serta kawalan perbelanjaan wajar dijayakan secara bersungguh-sungguh oleh semua lapisan masyarakat dengan mengubah tabiat penggunaan utiliti seharian dan mengurangkan pembaziran domestik.
Perdana Menteri telah mengembangkan payung fiskalnya, dan kini giliran rakyat untuk bersama-sama mengukuhkan pasak ekonomi negara demi masa depan yang lebih stabil.
Apakah rakyat bersedia untuk sama duduk bersimpuh meredah sukar dan sengsara, atau masih mahu bersila di peterana nan selesa?
Tepuk dada, tanyalah selera. - Getaran, 25 Mei 2026





