
SATU undang-undang kecil penting untuk meningkatkan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah sedang diwartakan, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata pihaknya akan mengadakan jerayawara bagi memberi khidmat nasihat kepada semua PBT.
“Ini adalah antara usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat kementerian,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Majlis Amanat Menteri 2023 yang diadakan di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, pada 12 Mei.
Beliau berkata PBT boleh dikatakan sebagai sebuah “organisasi mandiri”, walaupun terdapat sedikit suntikan bantuan daripada kerajaan tetapi mencari hasil untuk manfaat PBT adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.
SPONSORED CONTENT Carlsberg’s special edition cans feature Sabah, Sarawak wonders Kota Kinabalu: Carlsberg Smooth Draught Celebrates raises its special-edition cans to Borneo with tattoo art by local artists commemorating Sabah and Sarawak’s natural wonders. Read more “Cuba cari sumber pendapatan baharu yang boleh meningkatkan hasil kerajaan tempatan. Pejabat kementerian sentiasa terbuka untuk berbincang dan bertukar pendapat.
“Hasil seperti kutipan kadar taksiran, sewa dan lesen perlu terus dikutip, dan kutipan hasil semasa serta kutipan tunggakan perlu dipergiatkan. Kita perlu berfikir di luar kotak untuk memastikan hasil dikutip dan menjana pendapatan baharu,” katanya.
Dr Joachim juga berkata, banyak program sedang dirancang di peringkat kementerian selaras dengan empat teras utama iaitu mentransformasikan penyampaian perkhidmatan PBT, pembangunan sektor perumahan yang stabil dan mampan, perancangan pembangunan guna tanah yang mampan dan sistematik serta memperkukuh fungsi dan peranan Mahkamah Anak Negeri.
Beliau berharap kementerian dan agensinya serta semua PBT dapat bekerja sebagai satu pasukan.
“Kecemerlangan bukan sahaja diukur dengan pencapaian sasaran kerja tetapi ia dinilai melalui perkhidmatan yang berintegriti. Oleh itu, kita boleh simpulkan bahawa kecemerlangan adalah cerminan diri kita sebagai penjawat awam.
“Saya berharap agar semua sentiasa menghargai apa jua tugasan dan arahan serta tanggungjawab yang telah diamanahkan. Sebagai penjawat awam, kita tidak pernah lari daripada aduan dan tohmahan sama ada daripada orang ramai yang berurusan dengan kita atau mereka yang berurusan dengan kakitangan di pejabat.”
Beliau berkata kementerian tidak pernah dan tidak akan sewenang-wenangnya menerima tuduhan, aduan dan penghinaan dan akan menyiasat kesahihan aduan yang diterima, sambil menambah, kakitangan sentiasa diawasi.
Lima kakitangan kementerian itu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan enam lagi menerima Anugerah Khas.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


