Menjadi Manusia Yang Benar Manusia

Opinion
20 Jan 2026 • 5:00 PM MYT
Zakiah Senin
Zakiah Senin

30 years of shaping communities through volunteerism and character building

Image from: Menjadi Manusia Yang Benar Manusia
Photo credit: Chatgpt Image

Sekitar tahun 2016, kami menjayakan aktiviti gotong-royong di sebuah rumah uzur yang didiami sepasang warga emas. Sebelum memulakannya, kami beramah mesra dengan Pak Harun (bukan nama sebenar) berusia lewat 80an, manakala Mak Timah (bukan nama sebenar) sekitar 60an. Mak Timah sudah 2 tahun menghidapi stroke membuatkan dia hanya berbaring dan tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Semasa kami bergotong-royong, kami dapati terdapat sebuah bilik yang dipenuhi dengan tilam buruk dan pelbagai barangan lama. Manakala papan silingnya hampir runtuh. Bilik ini lembab, berbau hapak dan tidak mustahil haiwan berbisa akan atau sudah bersarang di situ. Kami memutuskan untuk membersihkan bilik tersebut demi keselamatan, keselesaan dan kebersihan tempat tinggal warga emas tersebut. Tiba-tiba Pak Harun menghalangnya. “Jangan! Tu bilik si along. Marah dia nanti. Hujung minggu ni dia balik.” “Betul ke balik tu Pak Un?” Tanya Kak Azie, jiran yang setiap hari datang menguruskan Mak Timah. “Ya.. Aku tau.. aku mimpi dia balik.” Balas Pak Harun perlahan. Kelihatan Mak Timah menahan sebak. Kak Azie mengetap bibir dan berbisik perlahan, “Anak-anak Pak Un dan Mak Timah ada 4 orang. Dah lama tak balik pun. Paling last anak sulung, dua tahun lepas.” Ohh! Kasihannya. Lebih kasihan lagi, kami dimaklumkan bahawa kesemua anak-anaknya itu terlibat dengan gejala dadah. Sungguh! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga Allah memberi ketabahan, kekuatan dan ganjaran terbaik buat Pak Harun dan Mak Timah. Juga kepada insan sehebat dan semulia Kak Azie, yang melayan dan menyantuni mereka seperti ibubapanya sendiri.

Sebagai sukarelawan pula, Inilah antara kekuatan yang kita perolehi apabila menjayakan sebarang kerja sukarela. Kerap kita melalui pengalaman-pengalaman yang berupaya memberi pengajaran, setiap kesilapan orang lain menjadi panduan untuk kita memperbaiki diri, setiap kekuatan mereka pula menjadi motivasi untuk kita terus ikhlas berbakti. Proses ini secara tidak langsung menyuburkan nilai kemanusiaan, membentuk akal budi yang matang, cara fikir yang sihat serta tingkah laku yang lebih beradab. Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com

Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.


Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.