
Mohd. Zahrin Zaidi Ayup atau lebih mesra dipanggil Moza, seorang pemandu pancing (fishing guide) dari Empangan Kelau di Pahang berjaya memahat rekod peribadi dengan seekor ikan air tawar gergasi Eropah, wels catfish.
Lebih tujuh tahun menjadi jurupandu pancing (fishing guide) di Empangan Kelau Raub, Pahang membuatkan Moza mempunyai ramai kenalan rapat dari dalam dan luar negara.
Siapa sangka, salah seorang pelanggannya bernama Fabian dari Perancis telah mempelawanya merentasi benua dan menyusuri Sungai Seine untuk memburu antara ikan air tawar terbesar di dunia, wels catfish (Silurus glanis).
Dari Kuala Lumpur, penerbangannya ke Doha, Qatar mengambil masa kira-kira lapan jam, sebelum transit selama dua jam dan meneruskan perjalanan sekitar tujuh jam lagi ke Paris, Perancis.
Dari Paris, perjalanan diteruskan ke Rouen, sebuah bandar bersejarah yang cukup sinonim dengan kisah sejarah Joan of Arc. Selepas berehat sehari di kediaman Fabian, bermulalah satu lagi babak dalam perjalanan memancing Moza dengan menyelusuri Sungai Seine.
Sungai Seine
Sungai Seine yang menjadi gelanggang kali ini jauh berbeza daripada Empangan Kelau. Lebarnya mengingatkan Moza kepada Sungai Pahang, tetapi kedalamannya sekitar dua hingga tiga meter sahaja, dan dasarnya pula berpasir.
Namun, di sebalik permukaan sungai yang kelihatan tenang, di dalamnya ada wels catfish yang merupakan ikan air tawar terbesar di Eropah.

Tubuhnya memanjang dengan bentuk kepala yang besar, mulut luas serta sesungut (misai) yang membantu mengesan mangsa di persekitaran air gelap.
Spesimen sepanjang dua meter sudah cukup untuk dianggap ‘trofi’ yang luar biasa. Namun, ikan ini mampu membesar sehingga sekitar tiga meter atau lebih, dengan berat mencecah ratusan paun.
Asp membuka tirai
Sebelum memburu wels catfish, Moza sempat memancing ikan asp (Leuciscus aspius).
Spesies ini mempunyai karakter yang agak serupa dengan ikan sebarau di Malaysia. Ia agresif, pantas dan menyeronokkan untuk diburu menggunakan gewang.
Tidak disangka, ikan ini juga menjadi tangkapan pertama Fabian bagi spesies tersebut.
Namun pancingan ikan ini hanyalah sebagai pemanas badan di bumi Perancis.
Keesokan harinya, Moza ditemani Jeremy, seorang pemancing tempatan yang memiliki bot sendiri. Sungai Seine diterokai dari satu lokasi ke satu lokasi dengan teknik casting menjadi pilihan.
Sonar pula digunakan sebagai ‘mata kedua’ bagi membantu membaca keadaan di bawah permukaan air.
Wels catfish bukan ikan yang duduk statik. Ia akan bergerak dan merayau di sepanjang sistem sungai bagi memburu makanannya. Justeru, pencarian ikan ini memerlukan pemancing sentiasa menjelajah dan menyesuaikan diri dengan pergerakan ikan.
Antara gewang killer untuk wels catfish iaitu spoon Zeck Blinker Jorg digunakan pada pagi itu.
Beberapa lokasi berpotensi dicuba dan akhirnya sambaran berlaku. Seekor ikan saiz sekitar dua meter panjang berjaya Moza daratkan.
Namun, pertarungan tersebut agak pelik kerana tali terlilit pada badan ikan sehingga pergerakannya menjadi kurang agresif.

Sepatutnya dengan anggaran berat melebihi 200 paun, ikan berkenaan mampu memberikan tentangan yang jauh lebih hebat.
L’ogre des rivieres
Bagi Moza, ia masih belum mencukupi, hari berikutnya memberikan cerita yang berbeza dan dia ditemani pemancing lain pula bernama Lolox.
Keadaan air yang kurang cantik menyebabkan aktiviti mengilat tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.
Selepas beberapa jam mencuba, mereka akhirnya membuat keputusan untuk menukar strategi.
Umpan hidup ikan belanak air tawar (freshwater mullet) pula mengambil alih kerja gewang. Perambut kasar bermata kail besar dipasang bersama pelampung.
Selepas berjam-jam bot berhanyut menyelusuri sungai, seekor wels catfish panjang sekitar satu meter menjadi hasil tangkapan pertama.
Bot kemudian berhanyut semula, tidak lama kemudian mereka menghampiri satu kawasan bereba di tebing. Pelampung tiba-tiba tenggelam, terus Moza menyentap padu jorannya.
Nasib baik ikan melarikan diri menuju ke kawasan terbuka. Tali laju keluar dari gelendung, walaupun drag telah diketatkan maksimum dan pertarungan berlangsung kira-kira 20 minit.
Akhirnya, muncul seekor gergasi panjang kira-kira 2.5 meter dengan anggaran berat sekitar 300 paun dan ia berjaya dihela naik. L’ogre des rivières (raksasa sungai) itu, akhirnya terkulai di hadapan Moza.
Namun cerita hari itu masih belum berakhir. Tidak lama kemudian, seekor lagi wels catfish menyambar umpan. Ikan yang ini berukuran kira-kira 2.3 meter panjang.
Tiga ekor wels catfish berjaya dinaikkan pada hari tersebut, ia merupakan satu sesi pancingan yang pasti sukar dilupakan.
Pesahabatan
Selepas misi memburu wels catfish selesai, Moza meneruskan beberapa sesi memancing ikan-ikan lain termasuk pike dan largemouth bass di sebuah tasik persendirian.
Apabila ditanya perkara paling berharga daripada perjalanan tersebut, Moza tidak memilih tangkapan wels catfish sepanjang 2.5 meter itu sebagai jawapan, sebaliknya persahabatan.
Ekspedisi tersebut berlangsung bersama Fabian, Julian, Lolox dan Jeremy.
Kesemuanya bermula daripada hubungan sesama pemancing yang akhirnya berkembang menjadi persahabatan merentasi sempadan.
Mungkin itulah keindahan sebenar dunia memancing.
Kita keluar mencari ikan, tetapi kadangkala pulang membawa sesuatu yang jauh lebih besar iaitu persahabatan, pengalaman dan kenangan.
Bersambung dalam bahagian 2: Teknik pancingan wels catfish.
The post Menjejak ‘wels catfish’ di tanah Joan d’Arc appeared first on Kosmo Digital.
