TRANSFORMASI pendidikan negara kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan memperkenalkan TVET 2.0 sebagai lonjakan besar dalam memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
Ia bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi satu usaha menyeluruh untuk memastikan sistem pendidikan kemahiran negara benar-benar seiring dengan tuntutan industri masa depan yang semakin dipacu teknologi tinggi.
TVET 2.0 dilihat sebagai jawapan kepada keperluan pasaran kerja yang kian berubah. Penekanan diberikan kepada bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet of Things (IoT), teknologi hijau serta sektor digital kreatif yang semakin berkembang pesat.
Pendekatan ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi laluan 'kedua', sebaliknya menjadi laluan utama membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompetitif di peringkat global.
Namun, di sebalik dasar yang progresif ini, cabaran paling besar bukan sekadar pada silibus atau infrastruktur, tetapi pada persepsi masyarakat.
Stigma lama yang menganggap TVET sebagai pilihan bagi mereka yang 'kurang akademik' masih menebal dalam sebahagian pemikiran masyarakat.
Hakikatnya, ekonomi moden tidak lagi hanya menilai kelayakan berdasarkan ijazah, tetapi berdasarkan kemahiran, kebolehan teknikal dan adaptasi terhadap teknologi baharu.
Dalam konteks Malaysia yang sedang menuju ekonomi berpendapatan tinggi, TVET 2.0 perlu dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang.
Kerjasama antara industri dan institusi latihan menjadi kunci utama memastikan graduan bukan sahaja memiliki sijil, tetapi benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan sebenar.
Bahkan, pendekatan ini turut membuka ruang kepada pekerja gig dan sektor tidak formal untuk meningkatkan kemahiran serta mobiliti sosial mereka.
Ini kerana, kejayaan TVET 2.0 tidak hanya terletak pada dasar kerajaan semata-mata, tetapi pada kesediaan masyarakat untuk mengubah cara berfikir. Selagi stigma lama tidak dihapuskan, selagi itu potensi sebenar TVET terus tersembunyi di balik persepsi usang.
TVET 2.0 bukan sekadar reformasi pendidikan, tetapi revolusi minda dan ekonomi negara masa hadapan lebih berdaya saing dan inovatif untuk memastikan masa depan negara lebih kukuh berterusan.


