
JAKARTA – Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Nasaruddin Umar teruk dikecam selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila menyarankan guru yang sibuk mencari wang supaya menjadi peniaga.
Kenyataan Kontroversi
Kenyataan itu dibuat ketika berucap dalam Program Pendidikan Profesional Guru di Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah semalam, dan rakamannya dimuat naik di TikTok oleh akaun @inilahcom.
Dalam video berkenaan, Nasaruddin menegaskan peranan guru bukan untuk mengejar duit semata-mata, sebaliknya mendidik anak bangsa.
“Jangan ikut peniaga, tujuan mereka cari duit. Guru punya matlamat mulia, mendidik anak orang. Kalau mahu buat duit, jangan jadi guru, jadi peniaga,” katanya.
Netizen Berang
Namun, kenyataan itu mencetuskan kemarahan ramai pihak termasuk netizen yang menyindir bahawa ahli parlimen dan menteri juga sepatutnya tidak perlu menerima gaji jika benar dianggap pekerjaan mulia.
Tampil Mohon Maaf
Selepas tular, Nasaruddin tampil memohon maaf dan menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menyinggung perasaan para pendidik, malah mengakui profesion guru adalah antara pekerjaan paling mulia.
Isu Lama Berulang
Isu penghargaan terhadap guru di Indonesia bukan perkara baharu, apabila ramai berpendapat pendapatan pendidik masih tidak sepadan dengan tanggungjawab yang digalas. Kenyataan seumpama ini hanya menambah luka lama dan sekali lagi membuka perbincangan mengenai kedudukan serta kebajikan guru di negara itu. – The Malaysian Update
The post Menteri Agama Indonesia Dikecam Suruh Guru Jadi Peniaga Jika Sibuk Cari Duit appeared first on The Malaysian Update.


