Menteri Indonesia Tarik Balik Cadangan Kenakan ‘Tol’ Untuk Kapal Yang Lalu Selat Melaka

23 Apr 2026 • 12:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Menteri Indonesia Tarik Balik Cadangan Kenakan ‘Tol’ Untuk Kapal Yang Lalu Selat Melaka

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (22 April) media melaporkan Indonesia sedang mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan levi (cukai) ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, memetik media tempatan, langkah tersebut adalah untuk menjadikan Selat Melaka yakni salah satu koridor perkapalan tersibuk di dunia sebagai sumber pendapatan negaranya yang baharu.

Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa berkata, cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Prabowo Subianto dalam usaha mempertingkatkan peranan Indonesia bagi perdagangan global.

Difahamkan idea itu amengambil contoh pendekatan yang sedang dipertimbangkan Iran di Selat Hormuz.

“Indonesia bukan negara terpinggir. Kita berada di sepanjang laluan perdagangan dan tenaga global yang penting, namun kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan bayaran,” kata Purbaya ketika berucap pada Simposium Bank Pembangunan Infrastruktur 2026 di Jakarta.

Tambah beliau, dasar itu berpotensi dilaksanakan melalui kerjasama serantau melibatkan Malaysia dan Singapura yang turut berkongsi laluan perairan tersebut.

Walaubagaimanapun idea itu berdepan tentangan apabila Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan menegaskan bahawa transit maritim di Selat Melaka dan Selat Singapura mesti kekal bebas dan tidak terhalang.

Purbaya Yudhi tarik balik cadangan, akui tak sesuai nak jadikan Selat Melaka sumber pendapatan

Namun tidak sampai beberapa ketika, Purbaya menarik balik cadangannya dan menegaskan bahawa Indonesia tidak akan mengeksploitasi laluan perairan strategik itu.

Jelas beliau, meskipun Indonesia terletak di laluan penting perdagangan dan tenaga global itu, untuk memanfaatkannya sebagai sumber pendapatan bukanlah sesuatu yang mudah atau sesuai, lapor Berita Harian.

Kalaulah boleh begitu, tetapi hakikatnya tidak,” katanya, merujuk kepada kekangan undang-undang, geopolitik dan praktikal yang terbabit.

Sebagai info, Selat Melaka merupakan laluan yang menghubungkan Asia dengan Asia Barat dan Eropah.

Ia merentasi laluan antara Semenanjung Malaysia dan Pulau Sumatera di Indonesia dan sebelum menyempit ke Selat Singapura antara Singapura dan Indonesia.

Selat sepanjang kira-kira 900 kilometer itu merupakan laluan penting kerana mengendalikan kira-kira 25% perdagangan global dan ia dikawal oleh prinsip keterbukaan serta kebebasan pelayaran di bawah undang-undang antarabangsa.