Menteri Kesihatan Beri Tuala Wanita Percuma Di KKM

LocalPolitics
12 Dec 2022 • 10:40 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Zaliha Mustafa - Gambar oleh Azim Rahman

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memulakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma di kementeriannya dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

Beliau turut menyatakan hasratnya untuk membekalkan tuala wanita itu terlebih dahulu di tandas di pejabatnya dan kompleks bangunan KKM, sebelum diperluas ke kementerian lain.

image is not available
Dr Zaliha hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

“Sebagai Menteri Kesihatan wanita pertama, saya perlu melakukan bahagian saya untuk menangani kemiskinan haid.

“Saya sebelum ini pernah bekerja dalam isu ini (kemiskinan haid) dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), (tetapi) itu dalam skala lebih kecil.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk menangani perkara itu di peringkat dasar,” katanya semasa perhimpunan bulanan KKM hari ini, dengan menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 500 penjawat awam.

image is not available
Dr Zaliha bercakap kepada media di KKM hari ini.

Bercakap kepada media, Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, perluasan usaha itu ke kementerian lain bergantung kepada sejauh mana ia diterima.

Katanya, KKM juga akan mengkaji bagaimana kebimbangan berhubung kemiskinan haid dapat dikurangkan dalam Bajet 2023.

“Kita akan lihat apa yang boleh dinaik taraf (dalam Bajet 2023). Ini (tuala wanita percuma di pejabat) adalah titik permulaan kita,” katanya.

image is not available
Petugas KKM membacakan ikrar pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementerian berkenaan, hari ini.

Ketika ditanya sama ada usaha beliau untuk memerangi kemiskinan haid turut membabitkan kempen kesedaran isu menstruasi, Dr Zaliha berkata, inisiatif sedemikian ‘memerlukan kerjasama agensi lain’.

Kemiskinan haid merujuk ketidakmampuan atau kesukaran individu untuk mendapat akses kepada tuala wanita dan kemudahan kebersihan kerana kekangan kewangan, sehingga menyebabkan kesihatan dan pendidikan mereka terjejas secara negatif.

Awal bulan ini, Selangor menjadi negeri pertama memperkenalkan program tuala wanita percuma di bawah bajet RM2.45 bilion 2023 negeri berkenaan. - The Vibes, 12 Disember 2022