Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengatakan Meta dan X tidak melakukan secukupnya untuk membendung isu buli siber, penipuan (scam) dan kandungan berbahaya atas talian pada platform milik mereka. Kenyataan dikeluarkan beliau ketika acara pelancaran garis panduan pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri di Cybertorium Star Tower, Petaling Jaya hari ini.
Garis panduan ini diterbitkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF). Menurut Fahmi lagi, CMCF telah diminta berhubung dengan Meta dan X serta pemain industri yang lain tetapi sehingga kini mereka enggan menyertainya. Setakat ini hanya TikTok secara sukarela menyertai CMCF yang merupakan inisiatif industri tanpa campur tangan kerajaan tidak seperti pelesenan platform media sosial yang diumumkan tahun lalu.

Menurut data Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sehingga Ogos 2024, sejumlah 122,603 panggilan aduan telah diterima oleh NSRC sejak penubuhannya pada Oktober 2022. Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jenis aduan yang diterima adalah bagi penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM371 juta.
Tahun lalu di Singapura pula, lebih separuh kes scam atas talian dilakukan menerusi platform milik Meta. Walaupun Meta berkata mereka memadam 2 juta akaun yang terlibat dengan scam penyembelihan khinzir tahun lalu, isu ini masih berterusan sehingga menjadi masalah rantau Asia Tenggara.
Sehingga Mac tahun ini, hanya Telegram, TikTok, dan WeChat sahaja yang sudah menerima lesen operasi media sosial yang berkuatkuasa sejak 1 Januari 2025. Meta yang mengendalikan Facebook, WhatsApp dan Instagram sekadar menyatakan minat untuk bertemu dengan SKMM bagi membincangkan permohonan lesen. Google pula sebelum ini tidak bersetuju YouTube dikategorikan sebagai media sosial. Akhir sekali X berkeras mereka tidak mempunyai 8 juta pengguna di Malaysia yang mewajibkan lesen dipohon.


