Menteri: MRT laluan Putrajaya beroperasi mulai 16 Mac

3 Mar 2023 • 11:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) akan mula beroperasi pada 16 Mac ini, demikian diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu diputuskan selepas mesyuarat pascaKabinet bersama MRT Corp, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hari ini.

Katanya, taklimat mengenai ujian percubaan operasi MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 menunjukkan perkembangan positif dan kementerian berpuas hati dengan semua ujian yang telah dijalankan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan merasmikan perkhidmatan itu yang bermula jam 3 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Bernama, di sini, malam ini.

Selain itu, beliau juga yakin bahawa inisiatif kerajaan itu mampu menarik lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Berhubung pemberhentian Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas faktor keselamatan, kelmarin, Loke memohon maaf kepada penumpang yang terjejas dalam insiden berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang amat dikesali dan saya memohon maaf kepada kesemua penumpang yang terjejas. Sememangnya kita sudah ada program naik taraf aerotrain itu seperti yang telah diputuskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” katanya.

Semalam, MAHB memaklumkan perkhidmatan aerotrain dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian tren selepas perkhidmatan itu mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penumpang terpaksa berjalan kaki menuju ke bangunan utama.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved