Menteri nafi dakwaan kuil terima pampasan RM2 juta

LocalPolitics
27 Mar 2025 • 4:00 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kerajaan tidak pernah meluluskan pampasan RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman seperti yang didakwa, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zaliha Mustafa.

Beliau menyangkal tuduhan pendakwah bebas Firdaus Wong yang mendakwa kuil itu menerima pampasan besar sebagai syarat berpindah dari Masjid India, Kuala Lumpur.

Pendakwah Bebas Firdaus Wong

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Kerajaan tidak menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil,” katanya memetik laporan MalaysiaKini, 26 Mac 2025.

Sebaliknya, jelas beliau, keputusan yang dicapai adalah hasil rundingan bersama semua pihak terlibat, termasuk jawatankuasa kuil berusia 130 tahun itu. Penyelesaian “menang-menang” itu membolehkan pembinaan masjid di atas tanah milik Jakel Trading Sdn Bhd yang tertangguh sejak 2020 dapat diteruskan.

Zaliha turut menegaskan tiada sebarang perjanjian lain selain penyelesaian rasmi yang diumumkan semalam. Pihak kuil juga bersetuju berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.

Beliau turut memberi amaran agar isu ini tidak dijadikan rujukan kepada kes lain kerana ia adalah penyelesaian khusus yang mengambil kira sensitiviti dan lunas undang-undang.

“Saya menggesa semua pihak agar hentikan polemik tidak berfaedah ini. Jangan kita apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat tidak sahih kerana ia menggugat keharmonian,” katanya.