
ROMPIN – Serangan berganda terhadap padi yang dihadapi pesawah di Paya Sepayang, di sini, perlu dipandang serius memandangkan sawah itu adalah antara pengeluar padi yang tinggi di Pahang sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzly Mohd. Ramly berkata, tindakan segera perlu dilakukan kerana masalah itu telah memusnahkan hampir keseluruhan padi di kawasan tersebut kali ini.
Beliau sendiri akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam tempoh terdekat.
“Keadaan ini bagi saya pihak kementerian kena campur tangan dan insya-Allah saya akan bertemu pihak menteri sendiri.
“Saya akan cuba susun keberadaan menteri untuk dibawa ke tempat kita untuk beliau meninjau sendiri apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika meninjau keadaan sawah padi Paya Sepayang di sini kelmarin.
Menurutnya, laporan yang diketengahkan Kosmo! mengenai bebanan petani terlibat perlu diberi perhatian segera oleh pelbagai pihak.
Katanya, dalam hal ini, pelbagai pihak khususnya pihak berkuasa berkaitan juga sedang berusaha mengatasi masalah itu agar ia tidak berulang lagi.
“Saya akan turut memohon bantuan khas kepada petani bagi membantu mereka memulakan semula kerja-kerja penanaman padi pada masa akan datang.
“Bantuan pembajakan, benih padi dan juga input pertanian lain dilihat wajar diberikan kepada petani di sawah berkenaan yang terjejas teruk,” katanya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan pesawah di Paya Sepayang tertekan apabila modal lebih RM200,000 yang digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah ditumbuhi pokok keladi agas dan paku rawan.
Fenomena luar biasa melibatkan 202 pesawah berdaftar itu dikatakan pertama kali berlaku sehingga menyebabkan sebahagian besar pokok padi yang ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.
Selain serangan padi, padi yang masih ada juga diserang ulat batang, kutu beruang dan penyakit padi bertukar warna kuning hingga hampir keseluruhan tanaman di Paya Sepayang musnah.
The post Menteri perlu lihat tanam padi tumbuh keladi appeared first on Kosmo Online.





