Menteri Perpaduan Tegur Era FM, Minta Hormat Sensitiviti Agama

LocalPolitics
4 Mar 2025 • 12:40 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa tindakan menghina mana-mana agama, termasuk agama Hindu adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, beliau merujuk kepada video tular yang berlaku di stesen radio tempatan Era FM yang didakwa telah mempersenda agama tersebut.

Menteri Perpaduan tegur Era FM

image is not available

“Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini. Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia,” katanya hari ini.

Aaron Ago berkata, rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum harus mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

“Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” ujarnya.

image is not available

Sementara itu, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bertindak mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan penyebaran kandungan yang menghina agama dikenakan tindakan tegas.

“Saya menyeru agar SKMM bertindak mengikut peruntukan yang ada di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mencetuskan ketegangan antara penganut agama di negara ini.

“Setiap tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius,” tegasnya.

Sebelum itu, tiga penyampai radio tersebut iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak selepas tular video mereka bertiga yang mengundang sensitiviti terutama kaum India.