Menteri tidak sehaluan kerajaan Madani wajar undur diri, usah tunggu dipecat - Kamil Munim

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 3:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Menteri tidak sehaluan kerajaan Madani wajar undur diri, usah tunggu dipecat - Kamil Munim
Kamil.
Image from: Menteri tidak sehaluan kerajaan Madani wajar undur diri, usah tunggu dipecat - Kamil Munim
Kamil hadir ke Kuala Linggi bagi memberikan sokongan kepada calon PH, Mukhlis Mubin.

MASJID TANAH - Menteri yang tidak lagi sehaluan dengan kerajaan atau tidak mampu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar mengundurkan diri secara sukarela dan bukannya menunggu sehingga dipecat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan itu lebih mencerminkan prinsip dan pendirian seseorang pemimpin berbanding terus berada dalam Kabinet, tetapi pada masa sama bertindak memburukkan kerajaan.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik terus terpelihara bagi menjamin kestabilan ekonomi negara.

"Mana-mana menteri daripada mana-mana blok yang tidak lagi sehaluan atau tidak mampu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, maka mereka sewajarnya mengundurkan diri.

"Tidak perlu menunggu sehingga dipecat. Kalau tidak boleh bersabar atau tidak mahu lagi bersama kerajaan, mereka boleh keluar pada bila-bila masa. Tiada masalah," katanya ketika membantu kempen calon PH DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin pada Dialog Santai bersama Persatuan Nelayan Kuala Linggi di jeti LKIM pada Sabtu.

**media[3703281]**

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyarankan Anwar menggugurkan menteri daripada UMNO susulan peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

Anthony pada sidang akhbar Jumaat lalu mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa sebaik saja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediaman untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyifatkan tindakan pemimpin yang bersama kerajaan tetapi pada masa sama mengkritik kepimpinannya sebagai tidak berprinsip.

"Siang hari bercakap lain, malam pula menikam belakang dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan.

"Orang seperti ini tidak mempunyai prinsip, maruah, harga diri dan jati diri serta pendirian politik yang jelas," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, AMK menghormati pendirian dan prinsip Anthony berhubung isu Najib.

"Kita bercakap soal undang-undang, perlembagaan dan menghormati institusi namun seperti yang disebut Perdana Menteri, kita perlu bertanya apakah mesej sebenar yang ingin disampaikan.

"Pada masa sama, kita tidak boleh menafikan di bawah perlembagaan yang sama, rakyat juga berhak menyatakan pendapat dan pendirian selagi menghormati prinsip lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved