
KOTA BHARU: Individu yang masih memegang jawatan menteri atau timbalan menteri perlu terus menghormati prinsip ‘tanggungjawab bersama’ walaupun ketika tempoh kerajaan sementara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (gambar).
Beliau berkata adalah tidak wajar bagi menteri atau timbalan menteri, menyerang kerajaan sendiri dengan serangan yang tidak berasas, kerana ia akan menunjukkan kelemahan individu berkenaan.
“Walaupun Parlimen dibubarkan tetapi menteri dan timbalan menteri masih lagi berfungsi sebagai 'caretaker' jadi prinsip 'collective responsibility' (tanggungjawab bersama) itu masih lagi berkuat kuasa.
“Di bawah prinsip ‘collective responsibility’, pertama sekali menteri dan timbalan menteri harus mendokong kerajaan yang mereka ada,” kata Ketua Umno Bahagian Ketereh itu kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Melor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini, yang mendakwa Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal, kerana menyerahkan tanggungjawab itu kepada Menteri yang tiada kaitan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Mengulas mengenai dakwaan itu, Annuar yang merupakan pengerusi Pasukan Khas Jihad itu berkata jawatankuasa pasukan berkenaan juga terdiri daripada pemimpin parti Bersatu seperti Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang sama-sama berusaha membantu rakyat menangani inflasi seperti mengawal kenaikan harga dan sebagainya.
“Fakta itu jauh tersasar, kerana jawatankuasa kita ini baru dua bulan menangani inflasi dan ia tidak boleh selesai dalam masa dua bulan.
“Malah kita cuba kawal harga dengan mengeluarkan peruntukan dan dana kerajaan seperti subsidi minyak, ayam dan telur secara berterusan, dan ia didapati sangat berkesan kalau nak dibandingkan dengan negara seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja, yang menunjukkan harga ayam di negara kita kekal murah.
“Kalau orang luar bercakap saya faham, tetapi kalau timbalan menteri biarlah berpada-pada kononnya masalah kerajaan sekarang tidak berjaya, sedangkan kita mempunyai trek rekod masing-masing di bawah kementerian, jika kita mengaku gagal rakyat akan tolak kita,” katanya.-Bernama
