Menyamar pelanggan, lelaki larikan jam tangan Rolex RM64,000

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2024 • 12:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Model jam tangan Rolex yang dilarikan seorang individu pada Jumaat.

image is not available
Keadaan di premis menjual barangan berjenama yang menjadi lokasi seorang individu melarikan jam berjenama Rolex pada Jumaat.

SUBANG JAYA - Seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan jam tangan berjenama Rolex di sebuah premis menjual barangan berjenama di kawasan SS 16 pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat pekerja premis terbabit.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati ketika kejadian pengadu bersama rakannya sedang membuka kedai berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

"Suspek sebelum itu didapati telah menunggu di hadapan kedai terbabit sebelum kedai dibuka.

"Suspek menyatakan telah membuat temu janji menerusi khidmat pesanan ringkas selain bertanyakan berkaitan beberapa barangan yang dijual," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek kemudiannya memberi alasan mahu mengambil majikan di tingkat bawah sebelum bergegas keluar dari kedai itu.

"Pengadu kemudian dimaklumkan rakan sekerjanya bahawa jam tangan berkenaan telah hilang akibat dicuri.

"Siasatan mendapati jam tangan itu berjenama Rolex dan berharga sekitar RM64,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.

"Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178," katanya.