Menyamar Sebagai Penghibur Jalanan, Polis Cekup Lelaki Dikehendaki Dalam Bas

LocalPolitics
18 Feb 2026 • 6:52 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

PADANG – Hasrat seorang lelaki untuk pulang menyambut Ramadan bersama keluarga berakhir dengan gari di tangan apabila dia ditahan polis dalam satu operasi penyamaran, Selasa 17 Februari 2026.

Rahel Gusnaedi alias Een, 18, diberkas ketika menaiki bas dari Jakarta menuju ke Padang selepas enam bulan melarikan diri susulan dipercayai terlibat dalam kes serangan berkumpulan yang membawa maut.

Taktik Penyamaran Jadi Penghibur Jalanan

Operasi tersebut diketuai oleh Aiptu David Rico Darmawan selaku ketua pasukan bersama beberapa anggota lain yang menyamar sebagai penghibur jalanan sebelum menaiki bas sama yang dinaiki suspek.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, anggota berkenaan membuat pengumuman ringkas sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan memanggil nama suspek.

Lelaki itu yang sedang berbaring di tempat duduk bas dilihat terkejut sebelum menyerahkan tangan untuk digari, tanpa mencetuskan sebarang kekecohan.

Enam Bulan Dalam Senarai Orang Dikehendaki

Untuk rekod, kejadian tersebut berlaku di kawasan Bypass, Kuranji pada 13 September 2025.

Sejak kejadian itu, suspek dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki selepas melarikan diri ke Pulau Jawa sebelum akhirnya berjaya diberkas.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Padang bagi membantu siasatan lanjut.

Taktik Dipuji Netizen

Tindakan menyamar sebagai penghibur jalanan itu mengundang perhatian ramai.

Rata-rata memuji strategi dan keberanian pihak polis yang berjaya menahan suspek tanpa menimbulkan suasana panik dalam kalangan penumpang lain. – The Malaysian Update

The post Menyamar Sebagai Penghibur Jalanan, Polis Cekup Lelaki Dikehendaki Dalam Bas appeared first on The Malaysian Update.