Menyemai kesedaran sejarah generasi pascamerdeka

LocalOpinion
7 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Menyemai kesedaran sejarah generasi pascamerdeka

BULAN ini, kita merayakan tahun ke-69 kemerdekaan.

69 tahun merupakan tempoh yang cukup panjang untuk melahirkan tiga hingga empat generasi yang tidak pernah merasai penjajahan, menyaksikan detik pengisytiharan kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka mahupun Stadium Merdeka, atau mendengar ledakan meriam konfrontasi.

Bagi mereka, kemerdekaan bukanlah nostalgia tetapi warisan yang diterima secara automatik, umpama udara yang disedut tanpa difahami asal-usulnya.

Syukurnya, generasi pascamerdeka tidak luntur semangat cinta kepada negara. Mereka cuma menzahirnya dengan cara berbeza.

Video-video pendek merdeka yang ditunggu-tunggu dan tular saban tahun, mahupun kandungan kreatif media sosial menggabungkan estetika moden dengan semangat kenegaraan adalah bukti patriotisme masih menyala.

Namun, kita mesti sentiasa bertanya, berapa ramai dalam kalangan kita yang menghafal fakta, tarikh, nama dan tempat, benar-benar mengambil iktibar daripada apa yang pernah terjadi?

Sejarah sering menjadi sekadar mata pelajaran untuk dijawab dalam kertas peperiksaan, bukan naratif hidup yang membentuk keperibadian dan kesedaran kebangsaan. Inilah jurang antara mengetahui sejarah dan menghayatinya.

Tuntutan menghayati sejarah ini bukan perkara baharu dalam tradisi keilmuan kita.

Al-Quran sarat dengan kisah sejarah umat terdahulu, kejayaan yang dianugerahkan kepada mereka yang beriman dan taat, serta kehancuran yang menimpa mereka yang derhaka.

Allah SWT berulang kali menceritakan kisah kaum ‘Ad, Thamud, umat Nabi Nuh, Firaun dan Bani Israel agar kita mengambil ibrah, iaitu teladan dan pengajaran.

Pengulangan kisah dalam pelbagai surah adalah bukti jelas betapa pentingnya sejarah diingatkan berulang kali agar dihayati di dalam jiwa dan bukan sekadar singgah di fikiran seketika lalu dilupakan.

Mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah turut membawa fungsi yang sama untuk memberikan teladan tentang perjuangan dan pengorbanan tokoh silam, serta memberi peringatan agar kesilapan tidak diulang.

Justeru, kurikulum dan mata pelajaran Sejarah di negara kita sentiasa ditambah baik. Malah, mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada 2013, setaraf dengan Bahasa Malaysia.

Selaras dengan peralihan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Sejarah turut dijadikan mata pelajaran teras sekolah rendah bermula Tahun Empat pada 2014, menggantikan Kajian Tempatan, dengan kandungan disemak untuk menekankan kewarganegaraan, perlembagaan dan patriotisme, sebelum diperkukuh menerusi KSSM mulai 2017 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Kini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menggubal kurikulum Sejarah baharu, yang dijangka dilaksanakan mulai 2027 dengan penekanan lanjut kepada literasi politik dan kenegaraan. Usaha ini wajar dipuji, namun keberkesanannya turut perlu dinilai secara berterusan.

 

Image from: Menyemai kesedaran sejarah generasi pascamerdeka
GENERASI pascamerdeka perlu memahami sejarah negara agar mampu menghargai pengorbanan terdahulu dan membina masa depan yang lebih bersatu.

INDEKS LITERASI SEJARAH NEGARA

Oleh itu, mungkin sudah sampai masanya kita membina Indeks Literasi Sejarah Negara (ILSN). Ia merupakan instrumen sistematik yang bukan sekadar mengukur pengetahuan fakta tetapi turut menilai kefahaman konteks, serta penghayatan afektif dan tindakan sivik generasi pascamerdeka terhadap warisan kenegaraan mereka.

Pendekatan ini bukanlah satu inovasi badan seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah lama mengukur literasi merangkumi kefahaman kontekstual dan pemikiran kritis, kerangka yang boleh dijadikan rujukan ILSN.
Dengan indeks sedemikian, kementerian boleh mengenal pasti jurang sebenar dalam kurikulum, pedagogi atau pentaksiran, lalu menambah baik berdasarkan bukti empirikal.

ILSN bukanlah lapisan pentaksiran tambahan, sebaliknya mekanisme maklum balas untuk menilai sejauh mana pelaburan dasar sejak 2013 dan 2014 mencapai matlamatnya.

Usaha ini turut sejajar dengan teras Kemampanan dalam gagasan Malaysia Madani, iaitu hasrat membina mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik, bertunjangkan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.

Kemampanan di sini bukan sekadar ekonomi atau alam sekitar tetapi turut merangkumi kestabilan jati diri bangsa. Sejarah, sebagai kearifan tempatan yang paling asas, membentuk cara bangsa memahami asal-usul dan nilai yang dipegangnya.
Kegagalan menghayatinya menghakis citra unik yang membezakan Malaysia daripada bangsa lain.

Justeru, ILSN bukan sekadar alat pendidikan tetapi mekanisme memampankan jati diri dan naratif kebangsaan menerusi ilmu sejarah.

Lebih daripada itu, dalam era ledakan maklumat digital, kelemahan literasi sejarah bukan lagi sekadar kepincangan akademik tetapi risiko kepada keutuhan naratif kebangsaan.

Generasi yang tidak menghayati sejarah lebih mudah terdedah kepada maklumat salah, yang akhirnya mengganggu-gugat keharmonian negara majmuk ini.

Indeks ini juga boleh menjadi asas kepada dasar perpaduan yang lebih menyeluruh dengan penekanan yang setara tentang Sabah dan Sarawak kerana penghayatan sejarah bersama adalah tunjang kepada semangat kekitaan sebagai satu bangsa Malaysia.

Pembinaan ILSN bukanlah satu tuntutan akademik semata-mata tetapi keperluan strategik agar generasi muda hari ini dan generasi akan datang bukan sahaja mengenali sejarah negara mereka tetapi turut menghayatinya sebagai ibrah menjadikan yang baik sebagai teladan dan yang buruk sebagai sempadan. –UTUSAN

DR. Najwa Abd. Ghafar ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

The post Menyemai kesedaran sejarah generasi pascamerdeka appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved