Meraque, KBS bekerjasama perkasa belia dalam bidang robotik dan pembuatan dron
zulfadli
24/11/2023 - 11:42
KUALA LUMPUR 24 Nov - Meraque Group memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai langkah penting ke arah memperkasakan belia negara dengan pendidikan dan kemahiran latihan dalam bidang robotik dan pembuatan dron.
MoU akan bertumpu untuk memperkukuhkan kerjasama strategik serta pembangunan kemahiran belia melalui penyediaan bengkel latihan dron dan penggunaan kemudahan semua cawangan Institut Latihan Kemahiran Belia Negara (ILKBN) di seluruh negara.
Selain KBS, inisiatif dilakukan bersama Meraque Akademi itu turut bekerjasama dengan Kelab Belia Udara Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Pejabat Penyelaras Parlimen Tenggara.
Ketua Pegawai Operasi Meraque, Suria Affandi berkata, pemeteraian MoU itu merupakan titik permulaan kepada pihaknya dan juga usaha kolektif kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah menjadi hab teknologi dan robotik serantau menjelang 2030.
Beliau berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen untuk meningkatkan pengetahuan generasi belia melalui pendidikan robotik dan pembuatan hibrid dron yang canggih.
Katanya, sebagai medium terbaik bagi belia yang berminat dalam bidang robotik dan dron tanpa mengira latar belakang, tahap kebolehan atau pengetahuan, Meraque Akademi akan menjadi pemangkin dinamik dalam merealisasikan matlamat pembangunan industri robotik dan dron Malaysia.
"Sukatan pembelajaran untuk kursus-kursus unik yang disediakan juga telah direka dengan teliti, bukan sahaja untuk mengajar tetapi juga mempelopori dan menerapkan pengetahuan serta perincian yang mendalam terhadap bidang itu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Objektif akademi tersebut adalah memberi pendedahan mengenai industri robotik dan aero angkasa, memfokuskan kepada kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron dan penglibatan komuniti dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran mantap, memupuk minat dan pembangunan profesional.
Meraque Akademi mengalu-alukan penyertaan peserta tanpa prasyarat khusus, menawarkan program dan latihan yang mampu memupuk minat belia dan seterusnya memudahkan peningkatan kerjaya pelatih.

Meraque Akademi menampilkan pelbagai kursus merangkumi tempoh latihan bermula dari dua hari hingga setahun, melibatkan latihan kelas dan di lapangan seperti Sijil Asas Kecekapan Juruterbang Jarak Jauh (RCOC-B), Beyond Line of Sight (BvLoS), pertanian, Penilaian Risiko Operasi Spesifik (SORA), kurikulum untuk sekolah, program kem musim panas dan acara korporat.
Kelebihan utama Meraque Akademi ialah jaminan peluang pekerjaan kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus, memberikan faedah dan insentif yang ketara untuk pelatih terlibat aktif dalam program akademi.

Meraque Akademi akan dibuka kepada pelajar dan profesional dari semua peringkat umur dengan tumpuan untuk menyediakan peluang dan pengambilan pekerja untuk belia yang kurang bernasib baik. - DagangNews.com
