Meraque, Kementerian Pertanian Republik Uzbekistan bekerjasama pacu rumusan robotik
syaza
10/09/2024 - 11:24
KUALA LUMPUR 10 Sept - Kumpulan Meraque menjalin perkongsian strategik dengan Kementerian Pertanian Republik Uzbekistan bagi memacu rumusan robotik dan membangunkan dasar ekosistem dron dalam sektor pertanian di negara itu.
Perjanjian itu dimeterai secara rasmi melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengarah Institusi Negeri (Perkhidmatan Pentadbiran dan Ekonomi) Republik Uzbekistan, Shakhobjon Sharifo dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengasas Meraque, Razali Ismail.
Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pertanian Republik Uzbekistan, Ibrokhim Y. Abdurakhmonov.
Meraque berkata, Uzbekistan sedang giat mengembangkan sektor hortikulturnya dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Dengan potensi pasaran itu, kami melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk kami meluaskan kepakarannya dalam teknologi dron dan rumusan robotik bagi membantu mengembangkan sektor pertanian Uzbekistan,"ujar Meraque dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun akan datang, Meraque menyasar untuk menjanakan pelaburan sebanyak RM20 juta (AS$4.6 juta) bagi mewujudkan fasiliti pembuatan termaju di Uzbekistan.
"Inisiatif tersebut dijangka menjana 1,000 pekerjaan baharu dan penggunaan 100,000 hektar tanah pertanian dengan hasil sumbangan bernilai kira-kira RM60 juta (AS$13.8 juta).
"Selain itu, Meraque juga merancang untuk mengumpul sebanyak RM30 juta (AS$6.9 juta) dalam bentuk potensi pelaburan bagi memajukan pembangunan masa depan dalam teknologi pertanian di seluruh rantau itu.
Menerusi perkongsian itu, Meraque akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian Uzbekistan untuk membangunkan dasar ekosistem dron komprehensif dalam aktiviti pertanian di negara itu.
Dasar tersebut bertujuan untuk mengawal selia dan meningkatkan penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian yang sedang berkembang luas, memastikan
pertumbuhan mampan dan peningkatan kecekapan.
Selain itu, Meraque menjelaskan, perkongsian strategik itu akan mengutamakan aspek pendidikan dan perkongsian pengetahuan, memberi tumpuan kepada program latihan, tadbir urus ekosistem dron dan perkhidmatan dalam sektor pertanian.
"Dengan membabitkan 100,000 petani, Kementerian Pertanian Uzbekistan bersedia untuk mendapat manfaat daripada peningkatan kecekapan, produktiviti dan kemampanan melalui perkongsian tersebut," ujar Meraque.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Meraque, Razali Ismail mengulas, perkongsian strategik itu bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan syarikat tetapi juga menyumbang kepada matlamat yang lebih luas iaitu pembangunan pertanian mampan.
"Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian Republik Uzbekistan untuk mencipta rumusan teknologi termaju yang akan memberi manfaat kedua-dua negara," katanya .- DagangNews.com


