johardy29/07/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang menolak permohonan pemasang kereta mewah Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd dan pengedarnya, Hap Seng Star Sdn Bhd untuk mengetepikan saman berhubung sebuah kenderaan yang didakwa mengalami kerosakan.
Saman itu difailkan oleh syarikat produk penjagaan rambut, Beyond Natural Group Sdn Bhd bersama dua pengarahnya, S Aruna dan G Hanulraj.
Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zalita Zaidan berkata, beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen pada November tahun lalu bahawa terdapat isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Susulan keputusan itu, kes berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen dari 21 hingga 25 Oktober ini.
Zalita turut memerintahkan Mercedes-Benz dan Hap Seng Star membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Beyond Natural, Aruna dan Hanulraj.
Mercedes-Benz dan Hap Seng Star merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan mereka untuk mengetepikan saman berkenaan.
Pertikai kedudukan plaintif di sisi undang-undang
Kedua-dua syarikat itu mempertikaikan locus standi atau kedudukan Beyond Natural, Aruna dan Hanulraj di sisi undang-undang untuk memulakan saman tersebut.
Mereka berhujah bahawa pemilik sah di sisi undang-undang bagi kereta Mercedes-Benz berkapasiti enjin tiga liter yang menjadi pertikaian itu ialah Affin Bank Bhd, yang menyediakan pinjaman untuk membiayai pembelian kenderaan berkenaan.
Beyond Natural, Aruna dan Hanulraj memfailkan saman itu pada tahun lalu selepas mengalami masalah elektronik dan mekanikal pada kereta yang dibeli dengan harga melebihi RM500,000 pada 2022.
Mereka mendakwa model kereta berkenaan telah tertakluk kepada proses panggil balik sejak Mac 2022, namun Mercedes-Benz atau pengedar kenderaan itu didakwa tidak memaklumkan “maklumat kritikal” tersebut kepada mereka.
Selepas berdepan pelbagai masalah pada Disember 2022, pembeli meminta kenderaan gantian, namun mendakwa Mercedes-Benz dan Hap Seng Star tidak mengambil sebarang tindakan selepas kereta itu dibaiki buat kali terakhir.
Hap Seng Star berhujah bahawa jaminan kenderaan diberikan oleh Mercedes-Benz dan ia tidak bertanggungjawab terhadap kecacatan yang didakwa berlaku.
Plaintif mahu Hap Seng Star ambil semula kenderaan
Mercedes-Benz pula berhujah bahawa tanggungjawabnya hanya untuk membaiki kecacatan pada kenderaan itu dan mendakwa tanggungjawab berkenaan telah dipenuhi.
Plaintif memohon mahkamah mengarahkan Hap Seng Star mengambil semula kenderaan berkenaan.
Mereka turut menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teruk (aggravated damages), selain RM54,246 yang merupakan perbezaan antara harga pembelian kenderaan dengan jumlah pinjaman sewa beli.
Beyond Natural, Aruna dan Hanulraj diwakili Kwan Will Sen dan Muayyad Khairulmaini daripada Tetuan Lim Chee Wee Partnership.
Mercedes-Benz pula diwakili John Mathew dan Kumara Guru Naiker, manakala Hap Seng Star diwakili Idza Hajar dan Julianne John. - DagangNews.com





