Mercun meletup dalam rumah, jeritan jiran jadi penyelemat penghuni tingkat lapan

LocalSales & Promo
9 Feb 2026 • 12:46 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

BANGI – Tindakan pantas penduduk yang menjerit dan memberi isyarat kecemasan berjaya menyelamatkan penghuni sebuah unit pangsapuri selepas kebakaran berlaku di tingkat lapan Residensi Adelia 1, Bangi Avenue, di sini kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Seorang saksi kejadian yang juga penduduk Residensi Adelia 2, Afifah, 33, berkata, kebakaran itu disedari selepas menerima mesej daripada suaminya yang berada di Melaka, memaklumkan terdapat kejadian kebakaran di kawasan kediaman mereka.

“Ketika itu saya dan anak baru hendak masuk tidur. Lebih kurang pukul 10.30 malam, suami mesej tanya ‘rumah terbakar nampak tak?’. Kami terus ke balkoni dan nampak memang ada satu unit sedang terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Afifah, unit yang terbakar terletak di tingkat lapan Residensi Adelia 1, Blok D, yang berhadapan dengan kediamannya di Residensi Adelia 2, Blok B.

Katanya, pada peringkat awal api hanya kelihatan di bahagian balkoni dan disangka berpunca daripada pakaian yang terbakar, namun keadaan bertambah buruk apabila api mula merebak ke dalam rumah.

“Jiran lain kemudian beritahu mereka dengar bunyi cermin pintu balkoni pecah dan api sudah masuk ke dalam unit,” jelasnya.

Tambah Afifah, dalam tempoh kira-kira lima minit, api merebak dengan pantas disertai asap hitam tebal serta beberapa bunyi letupan.

“Kami nampak seperti percikan mercun keluar dari balkoni rumah yang terbakar,” katanya.

Menurutnya, penduduk Blok B bertindak menjerit dan memberi amaran kepada penghuni Blok D selepas dimaklumkan oleh rakannya di tingkat 19 blok berkenaan bahawa tiada bunyi penggera kebakaran kedengaran.

“Mereka hanya sedar ada kebakaran selepas dengar bunyi letupan. Kami jerit ‘api, api’ untuk beri isyarat. Lepas itu nampak penghuni turun menggunakan tangga kecemasan walaupun keadaan agak gelap,” katanya.

Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian, namun sebelum itu penduduk setempat turut berusaha membantu mengawal keadaan.

Afifah berkata, berdasarkan maklumat jiran, pemilik unit tidak berada di rumah ketika kejadian dan kediaman tersebut dilaporkan musnah hampir sepenuhnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.42 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi tiba di lokasi pada 10.55 malam, diikuti bantuan daripada BBP Semenyih.

Komander Operasi, PBK I Mohd Fadzli Jusni berkata, kebakaran melibatkan sebuah unit pangsapuri di tingkat lapan berkeluasan kira-kira 1,200 kaki persegi.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus ruang bilik yang mengandungi bahan letupan iaitu mercun. Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam insiden ini,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, beliau memaklumkan pemeriksaan mendapati bahan letupan berkenaan berada di seluruh kawasan rumah dan bukan hanya di bilik utama.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.19 malam sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada sisa bara dan risiko letupan semula,” katanya.