
MERCURE Living Genting Highlands, projek kondominium hotel (kondotel) berjenama terbesar Mercure Living di dunia bakal dibuka pada 2028 sekali gus memperkukuh kedudukan Genting Highlands sebagai destinasi hospitaliti dan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1.06 bilion itu merupakan hasil kerjasama antara Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) dan Accor dengan Mercure Living Genting Highlands.
IA diintegrasikan dalam pembangunan TwinPines Serviced Suites di Tropicana Grandhill, sebuah kawasan berteraskan kesejahteraan seluas 45.3 hektar dalam perbandaran bersepadu Tropicana WindCity seluas 241.2 hektar.
Penjenamaan semula itu mengubah pembangunan berkenaan daripada suite servis konvensional kepada aset hospitaliti berjenama yang diuruskan secara profesional di bawah jenama Mercure Living, sekali gus menawarkan konsep kondotel yang menggabungkan pemilikan individu dengan pengurusan hospitaliti bertaraf global.
Melalui konsep itu, pemilik unit berpeluang menjana pendapatan sewaan menerusi program pengurusan profesional yang disokong rangkaian pengedaran antarabangsa Accor, program kesetiaan ALL Accor serta piawaian operasi global bagi meningkatkan kadar penghunian, pengalaman tetamu dan nilai aset dalam jangka panjang.
Mercure Living Genting Highlands memberi tumpuan kepada penginapan jangka panjang dan kediaman servis yang memenuhi keperluan pengembara moden yang mencari fleksibiliti serta keselesaan seperti di rumah, dengan gabungan kemudahan hotel dan kediaman.
Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, konsep Mercure Living membolehkan pemilik menikmati pengalaman kondotel yang diservis sepenuhnya selain didaftarkan secara automatik sebagai ahli Gold dalam Program Kesetiaan ALL Accor.
“Pemilik akan menjadi sebahagian daripada lebih 100 juta ahli ALL Accor dan menikmati keistimewaan keahlian Gold di lebih 4,500 hotel daripada 45 jenama Accor di seluruh dunia.
“Dalam pada itu, kediaman berjenama menawarkan potensi pelaburan yang lebih kukuh serta memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, projek yang dijadualkan mula beroperasi pada 2028 itu akan menawarkan 1,443 suite berperabot lengkap dengan kemudahan dapur dan ruang makan, restoran sepanjang hari, lounge eksekutif, dewan pelbagai guna, kolam renang air panas, pusat kecergasan serta pelbagai kemudahan gaya hidup.
Menurutnya, pembangunan itu telah mencapai kadar jualan sebanyak 88 peratus, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap kediaman hospitaliti berjenama.
Ixora berkata, trend kediaman berjenama terus mendapat sambutan di peringkat global berikutan kedudukan premium, pengurusan profesional serta daya tarikan sebagai aset pelaburan.
“Kami percaya kerjasama ini akan meningkatkan lagi keyakinan pembeli dan mengukuhkan nilai jangka panjang Tropicana WindCity, selain memperkenalkan konsep baharu penginapan jangka panjang yang diuruskan secara profesional di Genting Highlands,” katanya. – UTUSAN
The post Mercure Living Genting Highlands tingkat hospitaliti appeared first on Utusan Malaysia.

