Mercury Securities buat penampilan sulung dengan premium 8% di Pasaran ACE Bursa Malaysia
zulfadli
19/09/2023 - 10:52
KUALA LUMPUR 19 Sept - Mercury Securities Group Bhd memulakan penampilannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd, dibuka pada 27 sen sesaham yang mewakili premium sebanyak 8% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.
Mercury Securities disenaraikan di bawah nama saham "MERSEC" dengan kod saham "0285".
Mercury Securities melalui anak syarikat milik penuhnya, Mercury Securities Sdn Bhd terlibat dalam penyediaan pembrokeran saham, khidmat nasihat kewangan korporat dan perniagaan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin, perkhidmatan taja jamin dan penempatan, serta penyediaan penama dan perkhidmatan penjaga.
Kumpulan memperoleh sejumlah RM39.27 juta melalui IPO, yang mana RM26.86 juta daripada hasil itu diperuntukkan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin.
Sebanyak RM2.88 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan program pendigitalan dan aktiviti pemasaran untuk perniagaan pembrokeran saham dan operasi kumpulan.
Sejumlah RM4.63 juta daripada hasil itu akan digunakan untuk tujuan modal kerja manakala baki RM4.90 juta diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Securities atas pengawasan berterusan mereka terhadap pasaran modal mereka.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Mercury Securities dan kumpulan kerja ketekunan wajar atas kerja keras mereka dalam menjayakan hari ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan 25 sen sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 893 juta saham. - DagangNews.com

