Mercury Securities nilai harga sasaran Synergy House pada 52 sen sesaham

Business & Finance
18 May 2023 • 4:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mercury Securities nilai harga sasaran Synergy House pada 52 sen sesaham

azan

18/05/2023 - 16:44

KUALA LUMPUR 18 Mei - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 52 sen terhadap Synergy House Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 5.8 sen dan harga perusahaan sembilan kali sejajar dengan purata pemain industri lain.

Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 20.9% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

"Kami menyukai saham itu kerana rancangan pengembangannya yang menarik dan keupayaan reka bentuk serta pembangunan (D&D) yang kukuh.

"Kumpulan itu juga berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan penggunaan perabot global yang diramalkan oleh Smith Zander akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 2.88% daripada AS$590.01 bilion pada 2021 kepada AS$642.46 bilion pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, kumpulan itu berhasrat meluaskan capaian segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) melalui penyenaraian dan menjual produknya pada lebih banyak platform e-dagang pihak ketiga dengan pasaran sasaran baharu selain menubuhkan gudang baharu di Muar 2023 dan Pelabuhan Klang pada 2027 sebagai pusat pemenuhan e-dagang kumpulan.

"Kumpulan itu juga merancang untuk membeli lebih banyak inventori untuk pusat pemenuhan e-dagang pihak ketiganya di negara luar dan cadangan gudang baharu di Muar.

"Bagi meningkatkan pendapatannya, syarikat merancang untuk melibatkan diri dalam lebih banyak aktiviti pengiklanan dan promosi," katanya.

Semasa pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, kumpulan itu dijangka meraih RM34.4 juta daripada IPO dan memperuntukkan RM10 juta atau 29% untuk pembelian inventori bagi cadangan menaik taraf pusat e-dagangnya di Muar dan menaik taraf pusat e-dagang di negara luar.

Sejumlah RM1.5 juta atau 4.36% pula akan digunakan untuk membeli sistem rak dan forklift untuk cadangan menaik taraf pusat e-dagang di Muar, Johor dan RM1 juta atau 2.91% untuk pengiklanan dan promosi e-dagang.

Sementara itu, RM10 juta atau 29.07% adalah untuk membayar balik pinjaman, RM7.7 juta atau 22.38% tujuan modal kerja dan RM4.2 juta atau 12.21% perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com