Merdeka: Agong Naik Kereta Kuda, Tembakan Meriam 'Pukau' 50,000 Penonton

31 Aug 2022 • 11:47 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Agong dan Raja Permaisuri berangkat tiba di Dataran Merdeka menaiki Kereta Kuda Diraja, pagi tadi. - Gambar dari Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR - Hari ini mengukir sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya rakyat dapat menyaksikan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki kereta kuda ke Dataran Merdeka, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Lebih bermakna, sorakan penonton bergema di lokasi itu yang teruja dengan kehadiran Seri Paduka Baginda bagi bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan dinantikan rakyat Malaysia saban tahun. 

image is not available
Persembahan daripada Angkatan Tentera Malaysia. - Gambar dari Jabatan Penerangan

Selain itu, sempena sambutan berkenaan, orang ramai dan tetamu kehormat dipertontonkan dengan 14 das tembakan meriam ketika Lagu Negaraku dinyanyikan, bagi melambangkan jumlah negeri dimiliki Malaysia. 

Tembakan memukau hadirin itu dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Asri Che Wil. 

Dalam pada itu, sebanyak 30 kenderaan klasik memeriahkan perarakan kali ini yang dipandu beberapa karyawan seni tanah air. 

Sambutan pada kali ini juga menampilkan perarakan 65 motosikal berkuasa tinggi daripada Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Penganjuran sambutan tahun ini turut melibatkan perarakan komuniti Keluarga Malaysia, termasuk Orang Asli, cef terkenal dari Persatuan Jurumasak Malaysia dan selebriti tanah air. 

image is not available
Alif Satar turut mengambil bahagian. - Gambar dari Jabatan Penerangan

Orang ramai juga dapat menyaksikan wira dan wirawati negara yang memenangi pingat di temasya sukan antarabangsa serta petugas barisan hadapan pada perarakan itu, bagi menghargai pengorbanan mereka di saat negara berdepan tempoh sukar memerangi pandemik COVID-19.

image is not available
Muhammad Azeem mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar Bernama

Perasaan rakyat sedikit tersentuh ketika bacaan ikrar diketuai pemegang rekod acara 100 meter negara, Muhammad Azeem Fahmi berkumandang.

image is not available
Pasukan Berkuda PDRM yang diketuai Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut menyertai Majlis Perbarisan & Perarakan Sempena Hari Kebangsaan 2022. - Gambar dari Jabatan Penerangan

Gabungan kolaborasi strategik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta bersama agensi kerajaan untuk membawa kesepaduan serta kesepakatan demi kemakmuran negara, diterjemah melalui perarakan empat kategori kereta berhias. 

Ia adalah kereta berhias Power dan Energy oleh PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB); kereta berhias Gabungan Pemacu Telekomunikasi Tanah Air (TM, YTL, Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile); kereta berhias MEASAT; serta kereta berhias Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan kontinjen animasi.

Upacara peringkat kebangsaan itu melibatkan lebih 20,000 peserta, 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai pihak dengan anggaran kehadiran Keluarga Malaysia seramai 50,000 orang. - Getaran, 31 Ogos 2022.