
KUALA LUMPUR - Kemerdekaan sejati bukan sekadar membebaskan jasad daripada dijajah, tetapi turut mencakupi aspek memerdekakan jiwa dan pemikiran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemerdekaan harus dibina dengan nilai, akhlak dan tatakelola yang baik, tanpa mengulangi kerakusan penguasa terdahulu.
Menurut beliau, cabaran pasca kemerdekaan menuntut lebih daripada sekadar mengganti wajah penjajah.
“Apa gunanya penjajah diusir, jika penguasa tempatan yang menggantikannya berperangai sama - tamak haloba, rakus, menghina warna kulit dan menggunakan kekuasaan untuk meragut kekayaan?
“Inilah warisan sikap penjajah yang masih berterusan hingga kini,” katanya.

Jelas Anwar, kemerdekaan dinikmati negara ketika ini lahir daripada darah, air mata dan keringat perjuangan yang panjang serta penuh derita melawan kolonialisme dan imperialisme.
“Kita wajib mengenang keikhlasan dan ketabahan generasi terdahulu yang merintis jalan ini untuk kehidupan yang kita nikmati hari ini.
“Wawasan mereka jauh mendahului zaman,” katanya.
Beliau menarik perhatian, barisan tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens bersama ramai lagi pejuang telah menyatukan kepelbagaian untuk membentuk Malaysia yang berdaulat.
Katanya, perpaduan adalah tonggak dalam Malaysia yang merdeka.
“Hak Melayu dan Bumiputera dijamin dalam Perlembagaan, tetapi kemajuan negara juga mesti berpaksikan kesaksamaan peluang bagi semua.
“Inilah yang membezakan kita daripada prasangka dan diskriminasi penjajah,” katanya.
Perdana Menteri memberi ingatan, dunia hari ini berdepan cabaran baharu yang penuh pergolakan, termasuk konflik di Palestin yang terus meragut nyawa.
“Pengajarannya jelas, hanya dengan bersatu, merapatkan jurang kaum, agama dan wilayah, kita mampu pertahankan kedaulatan negara tercinta.
“Alhamdulillah, Malaysia terus melangkah dengan kekuatan baharu,” katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang serta Johor berhasil muncul sebagai gergasi industri, manakala Sarawak gah sebagai hab tenaga serantau dan Sabah pula dengan potensi pertumbuhan tertinggi.
Setiap negeri katanya, memliki peranan tersendiri untuk kemakmuran Malaysia.
“Kerangka MADANI mengimpikan kemajuan yang seimbang dengan ekonomi rancak tetapi bersulamkan ihsan, rahmah dan nilai kemanusiaan.
“Kita mahu negara ini maju dalam teknologi dan tenaga baharu, namun jangan sesekali kita tinggalkan budaya, budi pekerti dan karamah insaniah,” katanya. - Getaran, 17 September 2025
